KUCHING: Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kawasan rendah dan terbiar di negeri ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai jelapang padi moden bagi memperkukuh keselamatan makanan dan mengurangkan kebergantungan import beras.
ADUN Serembu, Dato Miro Simuh berkata, Sarawak sebenarnya memiliki sumber semula jadi yang mencukupi termasuk keluasan tanah, sistem sungai yang luas serta keadaan cuaca sesuai untuk menjadikan Sarawak antara pengeluar beras utama di negara ini.
Katanya, Sarawak tidak boleh terus bergantung kepada bekalan beras luar ketika dunia kini berdepan ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan makanan antarabangsa.
“Bagi saya penubuhan Rang Undang-Undang Lembaga Padi dan Beras Sarawak (SPRB) 2026 amat penting sebagai pemacu utama dalam menyusun semula pembangunan industri padi secara lebih tersusun, moden dan berdaya saing.
“Bagaimanapun, usaha ini perlu disokong dengan pembangunan infrastruktur lengkap termasuk sistem pengairan, saliran, jalan ladang serta penggunaan jentera moden bagi membantu meningkatkan produktiviti petani,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang SPRB 2026 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak perlu menetapkan sasaran lebih agresif dengan meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras sehingga 50 peratus dalam tempoh lima tahun menerusi pelaksanaan pelan induk yang jelas dan menyeluruh.
Sehubungan itu katanya, penubuhan SPRB juga mampu mengatasi masalah pertindihan fungsi antara agensi, kelewatan kelulusan projek serta birokrasi yang sering membantutkan pembangunan sektor pertanian.
“Pendekatan pertanian tradisional berskala kecil tidak lagi mampu memenuhi keperluan masa depan, justeru transformasi ke arah pertanian komersial moden perlu dilaksanakan segera.
“Saya juga ingin mencadangkan penggunaan teknologi pintar seperti sistem pengairan automatik, pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI), mekanisasi penuaian dan teknologi benih berkualiti tinggi bagi meningkatkan hasil pengeluaran beras negeri,” katanya.
Mengambil contoh Taiwan, beliau menambah, kejayaan negara itu mencapai tahap keselamatan makanan yang tinggi walaupun memiliki tanah pertanian terhad membuktikan bahawa perancangan jangka panjang, disiplin pentadbiran dan reformasi institusi mampu membawa perubahan besar kepada sektor pertanian.

