TATAU: Tanaman terung asam dan kopi berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat rumah panjang di Ulu Anap, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar melalui kepelbagaian aktiviti pertanian.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai berkata, potensi tanaman berkenaan wajar dimanfaatkan oleh masyarakat setempat dan tidak hanya bergantung kepada kelapa sawit sebagai sumber pendapatan utama.

Menurut beliau, terung asam khususnya mempunyai nilai pasaran yang baik serta berpotensi dikembangkan sebagai tanaman komersial sekiranya diusahakan secara berkelompok oleh komuniti rumah panjang.
“Kelapa sawit sememangnya memberikan sumber pendapatan kepada penduduk, namun kita juga boleh mengusahakan tanaman lain untuk menambah pendapatan, antaranya terung asam dan tanaman kopi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Siba, Nanga Setengin, Ulu Anap, di sini, semalam.
Menurut John Sikie, usaha mempelbagaikan tanaman bukan sahaja mampu mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada penduduk, malah membuka peluang kepada masyarakat luar bandar untuk terlibat dalam aktiviti pertanian yang mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi.
Beliau bagaimanapun berkata, aspek pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan tanaman juga perlu diberi perhatian bagi memastikan hasil yang diperoleh lebih berkualiti dan produktif.
“Pengurusan tanaman yang baik perlu diberi perhatian supaya hasil pengeluaran yang diperoleh setimpal dengan keluasan kebun dan jumlah tanaman yang diusahakan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengembangan Jabatan Pertanian Sarawak, Freddy Paul Giang berkata, AgriCOP menjadi platform penting untuk memberi pendedahan secara langsung kepada masyarakat mengenai kaedah serta teknologi pertanian yang boleh diaplikasikan di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, program selama dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta daripada 16 rumah panjang dengan fokus menggalakkan komuniti setempat menceburi bidang pertanian secara komersial dan berdaya saing.
Antara pengisian program ialah perkongsian berkaitan tanaman kelapa sawit, teknik cantuman tanaman serta penghasilan kordial terung asam yang berpotensi menambah nilai kepada hasil pertanian tempatan.
Selain itu, aspek berkaitan perlesenan ikan turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengisian program bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai keperluan dan peraturan dalam aktiviti perikanan.
Program AgriCOP turut memperkukuh hubungan antara komuniti rumah panjang dan Jabatan Pertanian Sarawak melalui perkongsian ilmu, kemahiran serta amalan pertanian yang bersesuaian dengan keperluan setempat.



