KUCHING: Tandas di Pasar Basah Batu 3 akan mengalami proses naik taraf bermula hari ini dan dijadual siap dalam tempoh lima bulan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai berkata, terdapat lapan perkara utama yang akan dilaksanakan sepanjang proses naik taraf tersebut.
“Kerja-kerja naik taraf merangkumi pembinaan kubikel tandas baharu; pemasangan jubin baharu; penggantian tingkap dan pintu; pemasangan siling baharu; naik taraf kelengkapan sanitasi; pemasangan meja basuh tangan lengkap; serta pemasangan paip dan lampu siling,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, projek tersebut telah dibuka untuk tender pada 10 Mei 2025 dan ditutup pada 19 Mei 2025.
“Setelah melalui proses penilaian sewajarnya, kontrak secara rasmi telah dianugerahkan pada 16 Jun 2025, yang juga menandakan tarikh penyerahan tapak kepada kontraktor yang dilantik,” katanya.
Dedahnya, isu mengenai tandas itu berlaku selepas saluran lantainya dipercayai tersumbat serta saliran paip yang telah lama dan uzur.
Masalah tersebut menyebabkan saliran air menjadi perlahan dan berlaku limpahan secara berkala sehingga memerlukan kerja-kerja pembaikan besar termasuk pemecahan dan pembinaan semula sistem saliran.
Justeru, beliau berharap komuniti dapat memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses naik taraf tandas itu dilaksanakan.
“MPP memberi jaminan kepada para penjaja dan pengunjung pasar bahawa isu ini sedang ditangani dengan segera dan penuh komitmen.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku sepanjang tempoh ini. Pihak majlis akan terus menumpukan usaha dalam menambah baik kemudahan awam serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.


