KUCHING: Gerakan Pengguna Negeri Sarawak perlu terus memainkan peranan sebagai platform strategik dalam memastikan suara pengguna didengari dan diterjemahkan kepada tindakan berkesan, tegas Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan itu berkata, perkara tersebut penting kerana senario kepenggunaan negara terus berkembang seiring dengan perubahan ekonomi, teknologi dan gaya hidup masyarakat.

Katanya, dalam keadaan kos sara hidup yang sentiasa menjadi perhatian rakyat, pengguna kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, peningkatan transaksi dalam talian, risiko penipuan digital serta keperluan untuk membuat keputusan pembelian yang lebih bijak.
“Komitmen berterusan yang ditunjukkan semua pihak juga membuktikan agenda perlindungan dan pemerkasaan pengguna kekal menjadi tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dengan pertubuhan pengguna, pihak industri dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 di Raia Hotel & Pusat Konvensyen Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya perkembangan pesat ekonomi digital juga membuka ruang dan peluang baharu kepada pengguna serta peniaga.
Awang Tengah menambah, beliau percaya mesyuarat ini akan memberi ruang kepada semua ahli untuk mengemukakan pandangan, cadangan dan syor yang konstruktif dalam menangani isu-isu semasa kepenggunaan.
Tegasnya, perbincangan yang berlangsung juga dapat menghasilkan pendekatan lebih berkesan, praktikal dan inklusif bagi memastikan kesejahteraan pengguna sentiasa terpelihara.

