AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben, percaya aktiviti pertanian itu boleh membawa banyak manfaat kepada pembangunan masyarakat di kawasannya.
Beliau juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah juga terus menumpukan usaha memerangi isu sosial di kawasannya.
SUARA SARAWAK: Apakah visi YB untuk kawasan Kedup?
MARTIN: Visi saya untuk mencapai pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 kepada masyarakat.
Tambahan pula, Kedup merupakan hab pertanian dan saya ingin menjadikan aktiviti pertanian di sini untuk dikomersialkan pada masa hadapan.
Apakah masalah dan isu yang sering YB hadapi?
Isu dadah merupakan isu utama yang kami hadapi dan saya sentiasa berharap agar agensi berkaitan dapat merancang program yang melibatkan ibu bapa.
Isu dadah ini memberikan kesan jangka panjang terutamanya menjejaskan generasi muda.
Seperkara lagi, terdapat beberapa isu mengenai kewarganegaraan di kawasan saya, contohnya perkahwinan dengan warga asing terutamanya warga Indonesia.
Proses perkahwinan tidak dilakukan dengan betul, akan menimbulkan isu dokumentasi.
Beberapa kes sekarang ialah anak mereka ini tidak mempunyai pengenalan diri yang sahih.
Kami berharap dapat membantu mereka dalam memberikan kesedaran tentang isu dokumentasi ini agar proses perkahwinan yang betul dan sah dapat dilakukan.
Apakah pencapaian YB banggakan di Kedup?
Pencapaian terbesar yang saya banggakan ialah menyediakan infrastruktur asas kepada masyarakat iaitu memberi kemudahan asas kepada masyarakat di sini yang semua jalan raya dan elektrik di sini lengkap 100 peratus.
Apakah perancangan seterusnya untuk Kedup?
Apa yang saya ingin lihat di kawasan Kedup ialah menyediakan persekitaran sekolah yang lebih baik kepada pelajar dan guru.
Dengan memberi mereka persekitaran kehidupan yang lebih baik kepada guru, mereka akan komited kepada komuniti di sini dan boleh mempunyai lebih banyak masa penglibatan dengan pelajar.
Saya harap saya dapat mencapai rancangan ini dalam tempoh yang singkat.
Apakah harapan yang ingin YB capai pada masa hadapan?
Harapan saya kepada Kedup untuk menjalinkan kerjasama bersama agensi berkaitan pada masa hadapan bagi mencapai 100 peratus liputan 4G pada 2030 memandangkan kini hanya 40 peratus sambungan Internet 4G di kawasan saya.




