BUKU Pendidikan Anak di Rumah: Penglibatan Ibu Bapa merupakan buku terbitan khas sebagai panduan berguna kepada ibu bapa tentang pendidikan anak-anak di rumah.
Penulis menekankan betapa pentingnya penglibatan ibu bapa di rumah bagi membina asas kejayaan bagi anak-anak yang bersekolah.
Kebanyakan ibu bapa tidak mengambil endah tentang perkara yang melibatkan pendidikan anak-anak kerana mereka menganggap perkara tersebut hanya dipikul oleh pihak sekolah dan insan yang bergelar guru.
Tema utama buku ini ialah pemerhatian penulis yang telah menjalankan penyelidikan melalui geran-geran penyelidikan dengan melihat penglibatan ibu bapa dalam mengurus pendidikan anak di rumah.
Selain itu, penulisan buku ini juga berkaitan dengan pengajaran, cabaran ibu bapa dan perubahan ke arah kebaikan.
Penekanan yang sangat tinggi digambarkan oleh penulis seperti faedah penglibatan, cabaran, kepentingan, keberkesanan dan galakan telah dirungkai oleh penulis agar dapat memberikan gambaran yang lebih jelas kepada ibu bapa tentang tanggungjawab yang dipikul oleh mereka dalam mendidik anak-anak di rumah.
Buku yang mengandungi sembilan bab ini telah mengetengahkan pelbagai perkara tentang penglibatan ibu bapa dalam mengurus pendidikan anak-anak semasa di rumah.
Antara bab yang menarik minat pengulas ialah bab tiga, bab enam dan bab tujuh.
Ketiga-tiga bab ini merupakan jantung bagi buku tersebut.
Bab tiga menceritakan tentang cabaran dan halangan dalam penglibatan ibu bapa di rumah.
Ibu bapa dapat mengenal pasti jenis halangan dan cabaran yang sering dihadapi untuk melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak di rumah.
Pada zaman natif digital ini, ibu bapa sering kali lalai dalam melibatkan diri mereka dalam pendidikan anak-anak di rumah. Ada segelintir ibu bapa tidak menganggap sesuatu tindakan yang dilakukan itu bukan satu bentuk halangan mahupun cabaran.
Selain faktor masa yang kurang bersama-sama anakanak di rumah kerana perlu bekerja untuk mencari rezeki, faktor sukatan pelajaran yang berbeza juga merupakan halangan yang terkandung dalam penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anakanak.
Dalam pada itu, faktor yang sering menjadi halangan seperti faktor ekonomi.
Terdapat segelintir ibu bapa yang berpendapatan rendah tidak mampu memenuhi segala keperluan sekolah anak-anak yang melibatkan kos yang tinggi.
Hal ini demikian kerana kurangnya pendapatan isi rumah bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak seperti menghantar anak ke pusat tuisyen.
Dalam bab enam pula, penulis mengulas tentang kepentingan hubungan ibu bapa dan anak terhadap pendidikan anak di rumah.
Penulis mengatakan bahawa ibu bapa bukan sahaja merupakan pendidik utama malah berperanan sebagai pendidik sepanjang masa buat anak-anak di rumah.
Perkara yang boleh meningkatkan lagi hubungan erat antara ibu bapa dengan anak di rumah seperti berbincang tentang masa depan anak, aktiviti di sekolah, berkongsi tentang kisah belajar mereka ketika zaman persekolahan dahulu agar dapat menjadi teladan kepada anak-anak dan perkara lain yang dapat membantu dalam meningkatkan hubungan erat antara ibu bapa dan anak khususnya yang melibatkan pendidikan.
Seterusnya pada bab tujuh, penulis berkongsi keberkesanan pemantauan ibu bapa terhadap pendidikan anak. Pemantauan yang baik oleh pihak ibu bapa mampu mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak apabila melibatkan pendidikan mereka, permasalahan di sekolah, konflik anak dengan guru di sekolah dan masalah peribadi anak.
Selain itu, melalui pemantauan juga, ibu bapa berpeluang untuk mengetahui perkara yang baik dalam diri anak.
Contohnya, mengenal pasti minat anak agar ibu bapa dapat merealisasikan minat dan impian anak masing-masing.
Antara lain, penulis turut menjelaskan tentang kegagalan penglibatan ibu bapa di rumah berserta implikasinya terhadap pendidikan anak serta kepada ibu bapa sendiri.
Kurangnya penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak berupaya melahirkan seorang anak yang kurang tetap dalam pendirian, gagal membuat keputusan yang terbaik dalam hidup mereka serta kurang berfikir secara kritis dan kreatif.
Karakter utama dalam buku ini ialah ibu bapa dan anak. Ibu bapa merupakan karakter utama yang penulis ingin ketengahkan dalam permasalahan berkaitan pendidikan yang melibatkan ibu bapa di rumah.
Menurut penulis, pihak guru dan sekolah hanya membantu menerapkan ilmu kepada anakanak di sekolah.
Seterusnya untuk mengembangkan ilmu tersebut, ibu bapa ialah orang yang terpenting dan berperanan untuk melakukan perkara tersebut. Hal ini demikian kerana anakanak mempunyai lebih banyak masa bersama dengan ibu bapa jika dibandingkan dengan guru di sekolah.
Maka, seharusnya ibu bapa perlu memainkan peranan masingmasing dalam membantu pihak sekolah untuk memantau pendidikan anak-anak di rumah.
Dalam pada itu, penulis juga mendefinisikan ibu bapa sebagai jambatan penghubung antara keluarga dengan sekolah dalam mempersiapkan anakanak bagi mencapai visi dan misi sekolah.
Pada pandangan pengulas, dari segi penulisan, penulis boleh menyelitkan serba sedikit tentang tanggungjawab pihak sekolah dan guru agar tidak berlakunya sebarang kemusykilan.
Maka, kerjasama banyak pihak amat diperlukan bagi membantu perkembangan pendidikan anak di rumah agar anak-anak lebih fokus dan seronok untuk belajar di rumah.
Secara jelas, buku ini sesuai dan diterbitkan khas untuk orang dewasa atau ibu bapa khususnya sebagai panduan kepada mereka untuk menerapkan kesesuaian dan penglibatan diri dalam mengurus pendidikan anak di rumah.



