KUCHING: Sikap bertanggungjawab secara kolektif harus dipupuk pada semua peringkat agar harta benda yang mempunyai kepentingan awam dapat dilindungi.

Selain itu, tindakan segera juga dapat diambil untuk membaik pulih kerosakan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, berkata pemikiran seperti meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ke atas sesebuah agensi harus dihentikan.
Sebaliknya, masyarakat juga harus berkongsi maklumat berkaitan kerosakan itu dengan agensi berkaitan untuk diambil tindakan.
“Kita harus mempunyai pemikiran tanggungjawab kolektif.
“Sudah tiba masanya kita untuk berhenti menyalahkan rakan sekerja dalam agensi lain.
“Dan kita seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya untuk memaklumkan kepada rakan sekerja kita (agensi utiliti) di tempat lain (berkenaan kerosakan utiliti),” kata Julaihi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Infrastruktur Kritikal di Hikmah Exchange di sini hari ini.
Sidang kemuncak itu merupakan anjuran kerjasama Sarawak Energy dengan Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Sarawak (UPKS) di bawah Jabatan Premier Sarawak.
Julaihi berkata penjagaan infrastruktur kritikal ini penting kerana ancaman terhadap aset yang mempunyai kepentingan awam boleh berlaku bila-bila masa.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan perkara ini diberi perhatian, diambil tindakan,” katanya.
“Kita mesti mempunyai rasa pemilikan terhadap semua aset yang kita ada.”
Justeru, beliau berkata sidang kemuncak ini menyediakan platform yang penting buat agensi utiliti dan UPKS untuk
terus menjalin kerjasama dan belajar daripada pengalaman satu sama lain.
“Dalam kita bergerak ke hadapan, peranan teknologi tidak boleh diperkecilkan.
“Sama ada ia memanfaatkan kecerdasan buatan atau AI untuk pengesanan ancaman, meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian telekomunikasi kita atau memastikan grid kuasa kita kekal selamat, kemajuan teknologi adalah teras kepada kejayaan kita.
“Tetapi teknologi sahaja tidak mencukupi.
“Kita juga mesti memupuk minda keselamatan awalan merentasi semua peringkat tenaga kerja, memastikan kakitangan kita bersedia untuk bertindak balas terhadap ancaman yang muncul dengan tangkas dan yakin,” ujarnya.
Pada sidang kemuncak itu, Julaihi turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) lanjutan antara Sarawak Energy Bhd (SEB) dengan UPKS.
SEB diwakili Naib Presiden Kanan SEB untuk Keselamatan Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran, Marconi Madai, manakala UPKS diwakili Datuk Dr Chai Kin Chung.

