ARTIKEL

GARISAN putih kelihatan telah dicat di lokasi kemalangan maut melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB). | Foto Bernama

Tanggungjawab kolektif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM kemeriahan menyambut Aidiladha barubaru ini, Malaysia dikejutkan dengan berita kemalangan bas yang mengakibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meninggal dunia, sementara yang lain cedera.

Negara berduka dengan kemalangan sekitar jam 1.00 pagi itu, kerana ia antara kemalangan yang menyebabkan banyak kehilangan nyawa.

Bas yang membawa 42 pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.

Turut terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Raya TimurBarat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik ini ialah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Ada pelbagai teori dikemukakan tentang kemalangan ini.

Semuanya banyak dibincangkan di media sosial.

Ramai juga yang bertindak seperti pihak berkuasa untuk menentukan hukuman.

Apa-apa pun, ia harus diserahkan kepada pihak berkuasa bagi mencari punca sebenar kemalangan tragis tersebut.

Difahamkan, pihak berkuasa pelbagai agensi kini dalam proses melakukan siasatan terperinci dalam semua aspek.

Kemalangan ini bukan yang pertama.

Banyak sudah kemalangan berlaku sama ada mangsa meninggal dunia ataupun cedera ringan.

Kenderaan pula ada yang rosak teruk.

Semua ini berlaku di seluruh negara.

Ada yang dilaporkan di media, dan ada juga tidak dilaporkan.

Jadi, kemalangan yang meragut pelajar UPSI itu harus dijadikan titik perubahan bagi mengatasi ataupun sekurang-kurangnya mengurangkan kes kemalangan maut pada masa akan datang.

Jika keadaan jalan raya tidak baik punca berlaku kemalangan, maka harus ada usaha sejak semalam lagi untuk membaiki jalan-jalan yang rosak.

Jangan ditunggu lagi untuk kerja-kerja pembaikan.

Ia perlu disegerakan.

Dan, jika ketiadaan lampu jalan yang menjadi punca kemalangan, maka sewajarnya lampu jalan segera dipasang.

Bukan menunggu ada lagi kemalangan, maka baru ada tindakan untuk memasang lampu sedemikian.

Jadikan apa-apa yang berlaku sebelum ini sebagai pengajaran.

Ini kerana apabila berlaku apa-apa kemalangan, pelbagai sebab akan dikemukakan.

Ada juga yang mengatakan papan tanda amaran tidak mencukupi.

Jika demikian, maka papan tanda yang dimaksudkan perlu segera dipasang.

Kalau boleh hari ini, bukan esok, lusa atau tahun depan.

PEMANDU

Jika berlaku kemalangan, memang pemandu yang bertanggungjawab.

Dia yang mengendalikan bas harus memastikan setiap seorang penumpang di dalam bas selamat sepanjang perjalanan dan selamat tiba ke destinasi.

Sebab, penumpang bergantung harap kepada pemandu sepanjang perjalanan.

Jika diketahui pemandu dipengaruhi dadah atau alkohol, pasti penumpang tidak mahu pemandu itu yang memandu — membahayakan pemanduan.

Jadi, seseorang pemandu jika berasa tidak selamat untuk memandu, perlu memaklumkan kepada majikan/penyelia — ganti dengan pemandu lain.

Jika tidak, mereka meletakkan nyawa penumpang ibarat telur di hujung tanduk.

Pemandu juga harus memastikan mereka benar-benar bersedia dari segi mental, fizikal sebelum memandu, sebelum menyesal kemudiannya.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Seterusnya, majikan perlu memastikan pemandu mereka bebas daripada sebarang bentuk saman terutama atas kesalahan memandu laju, melulu dan secara berbahaya.

Pastikan pemandu melunaskan setiap saman sebelum dibenarkan memandu.

Ini untuk mendisiplinkan pemandu berkenaan.

MAJIKAN

Majikan juga perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan setiap penumpang dan pemandu serta pembantu pemandu.

Majikan tidak boleh lepas tangan dalam banyak hal.

Majikan perlu menilai tahap kesediaan pemandu sebelum memandu.

Tidak cukup dengan itu, majikan perlu memastikan bas berada dalam keadaan baik untuk perjalanan dekat atau jauh.

Penyelenggaraan bas harus mengikut tempoh ditetapkan, termasuk pemeriksaan oleh Puspakom.

Sewajarnya, bas diperiksa dengan teliti oleh pemandu serta mekanik sebelum memulakan perjalanan, dan hasil pemeriksaan itu harus direkod dalam buku log bas berkenaan sebagai rujukan.

Majikan tidak boleh memandang enteng pemeriksaan ini. Jika tidak, akan menyebabkan majikan itu kerugian jika berlaku kemalangan.

Bukan setakat ganti rugi, malah permit bas atau pendaftaran syarikat juga boleh dibatalkan serta-merta oleh Kementerian Pengangkutan sebagai hukuman dan pengajaran kepada orang lain.

Satu cadangan, majikan boleh bertindak menyamar sebagai penumpang untuk mengesan pemandu mereka tidak melakukan sebarang kesalahan sepanjang pemanduan.

Ambil tindakan segera jika melakukan kesalahan bagi mendisiplinkan pemandu.

Bukan hanya mengharapkan pihak berkuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan sahaja yang membuat penyamaran terutama pada waktu perayaan.

MASYARAKAT

Masyarakat juga perlu membantu mengurangkan kemalangan.

Antaranya membuat aduan berkaitan salah laku pemandu.

Mungkin majikan boleh menyediakan pelekat yang mempunyai nombor telefon majikan di dalam bas ataupun nombor telefon untuk aduan dicetak pada setiap tiket penumpang.

Tujuan untuk membuat sebarang salah laku pemandu.

Dengan ini, majikan dapat bertindak segera setelah menerima laporan tersebut.

Dengan ini, pemandu akan sentiasa berasa diperhatikan majikan yang mengambil tindakan menggantung tugas atau memberhentikan mereka jika benar-benar bersalah.

Apa-apa pun, semua ini memerlukan tindakan semua pihak.

Jangan hanya setelah berlaku kemalangan baru ada tindakan. Ini yang menyebabkan rakyat tidak puas hati.

Sentiasa membuat pemantauan untuk mengenal pasti punca-punca berlakunya kemalangan.

Dan ketika berlaku tragedi melibatkan pelajar UPSI, jangan ada antara kita yang membuat hantaran jelek di media sosial dan jangan cepat menghukum.

Kita sepatutnya menunjukkan rasa simpati mendalam kepada mangsa dan keluarga mangsa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU