BINTULU: Sebuah bot nelayan tempatan kelas C telah ditahan pada kedudukan 5.10 batu nautika dari Kuala Balingian atas kesalahan menjalankan aktiviti perikanan di zon larangan, sekitar jam 10 pagi semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan dibuat berdasarkan aduan orang awam.
Bertindak atas aduan tersebut, katanya, anggota penguat kuasa bertindak melakukan tangkapan dengan menggunakan bot samaran bagi mengelakkan kehadiran dikesan oleh nelayan terbabit.
“Hasil penggeledahan yang dilakukan, didapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong tempatan bersama-sama dua kru tempatan berumur antara 35 hingga 52 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati syarat dalam buku lesen menetapkan kawasan yang dibenarkan untuk menangkap ikan adalah 12 batu nautika dari pantai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bot dan kesemua kru ditahan untuk tindakan lanjut, termasuk hasil tangkapan ikan campur seberat 100 kilogram dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM500,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan serta boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan sebarang salah laku atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menghubungi secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” tambahnya.







