SARIKEI: Cadangan pembinaan kilang pemprosesan nanas serta projek tanaman nanas secara komersial di Tanjung Manis disambut baik kerana dijangka mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat serta mengembalikan kegemilangan nanas Sarikei yang pernah popular suatu ketika dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan sememangnya berhasrat untuk memperkenalkan semula industri nanas di Sarikei memandangkan buah tropika itu pernah terkenal sejak tahun 1960-an.
“Dahulu, nanas Sarikei memang cukup dikenali. Namun kerana tiada tindakan khusus serta kurangnya penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh badan-badan berkaitan, industri ini semakin terpinggir dan hampir pupus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Korban Perdana di Masjid Al-Muttaqin di sini, hari ini.
Menurutnya, hasrat pelabur untuk membangunkan kilang pemprosesan nanas dan melaksanakan projek tanaman secara besar-besaran di kawasan ini sangat dialu-alukan.
“Secara geografinya, Tanjung Manis memang sesuai untuk tanaman nanas. Yang diperlukan hanyalah pelabur yang serius untuk membawa pelaburan dan teknologi ke kawasan ini,” tambahnya.

Len Talif turut menjelaskan bahawa kawasan Tanjung Manis memiliki potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab industri pertanian, khususnya bagi pemprosesan nanas, kerana dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk jalan raya moden dan perancangan memperbesarkan Lapangan Terbang Tanjung Manis oleh kerajaan.
Sebelum ini, Pengarah Urusan JG Sarava Sdn. Bhd. (JGS), Datuk Jeyarajan Sri Ramalu berkata, syarikatnya merancang untuk membina sebuah loji pemprosesan nanas berteknologi tinggi di Tanjung Manis, yang dijangka bakal mengubah landskap pertanian di Sarawak.
“Apabila kilang ini mula beroperasi, penanam nanas dari seluruh Sarawak, dari Kuching hingga ke Limbang, akan mempunyai pembeli tetap. Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada gerai tepi jalan atau pasar raya,” ujarnya.
Jeyarajan berkata, ketika ini Sarawak hanya mampu menghasilkan kira-kira 15 tan nanas sehari, sedangkan kilangnya memerlukan bekalan sebanyak 50 tan sehari.
“Jurang ini bukan masalah, malah peluang besar untuk penanam baharu menyertai industri. Dalam masa satu hingga dua tahun, saya yakin industri nanas Sarawak mampu mengatasi pencapaian di Semenanjung Malaysia,” katanya penuh optimis.
Projek itu dilihat sebagai langkah strategik untuk membangunkan industri pertanian bernilai tinggi di Sarawak serta memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar secara mampan.



