TANJUNG MANIS: Daerah ini bakal menikmati kemudahan sebuah mini stadium baharu dengan peruntukan sebanyak RM15 juta yang dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor sukan dan pendidikan setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Len Talif Salleh berkata pembinaan fasiliti tersebut merupakan antara langkah strategik kerajaan Sarawak dalam memperluas akses kepada kemudahan sukan, khususnya di kawasan luar bandar yang semakin pesat membangun.
Katanya, projek berkenaan akan membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan secara tersusun.
“Kewujudan mini stadium ini kelak mampu melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang sukan di samping menyokong pembangunan modal insan di Tanjung Manis secara keseluruhan.
“Projek dilaksanakan menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan prasarana sukan di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Penangguhan Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas (KMDPK) Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Kali Ke-5 Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan SMK Belawai, hari ini.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi pembangunan sukan, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat secara menyeluruh.
Mengulas lanjut mengenai kejohanan itu, beliau memaklumkan sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan penyertaan daripada pelbagai daerah di seluruh negeri.
Sebanyak 25 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi terhadap pembangunan sukan dalam kalangan murid pendidikan khas.
“Jumlah peserta turut menunjukkan peningkatan signifikan apabila mencatat pertambahan lebih 300 peserta berbanding edisi sebelumnya, selain memberi impak positif terhadap keyakinan diri peserta serta memperkukuh hubungan antara komuniti, warga pendidik dan agensi berkaitan,” katanya.



