TANJUNG MANIS: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia menyatakan minat untuk melabur dalam penanaman nanas berskala besar di kawasan Tanjung Manis.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata langkah itu diambil susulan kekangan tanah di Johor yang menjadi pusat utama pengeluaran nanas negara ketika ini.
“Mereka berjumpa dengan saya dan bertanya adakah nanas boleh ditanam di Tanjung Manis kerana mereka sudah tidak mempunyai tanah yang mencukupi di Johor.
“Jadi mereka mahu memulakan penanaman nanas secara besar-besaran di Sarawak dan telah mengenal pasti Tanjung Manis sebagai lokasi sesuai.
“Biarlah mereka membawa pelaburan besar ke Tanjung Manis ini, dan nanas ini akan diproses melalui aktiviti hiliran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Safari Memancing Tanjung Manis Ke-18 yang diadakan di Terminal Ekspres Tanjung Manis, hari ini.
Abang Johari menjelaskan bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertanian Sarawak sebelum ini dan telah menghasilkan kacukan nanas Johor dan Sarawak yang dikenali sebagai Nanas Sarikei atau Josapine.
“Nama itu datang daripada Johor dan Sarawak iaitu J-O-S untuk Johor-Sarawak dan ‘pine’ daripada pineapple. Maka jadilah Josapine, yang kebetulan juga nama seorang wanita,” jelasnya.
Justeru, katanya, projek berkenaan dijangka membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
“Ini akan memberi pendapatan dan pekerjaan kepada penduduk di kampung ini,” ujarnya.
Menjelas mengenai Program Safari Memancing Tanjung Manis Ke-18, Abang Johari berkata beliau bersetuju untuk menyenaraikan Safari Memancing Tanjung Manis dalam kalendar pelancongan rasmi negeri.
Beliau berkata langkah itu susulan permintaan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, serta Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA), Zainal Abidin Abdullah supaya acara memancing tahunan itu diiktiraf sebagai produk pelancongan.
“Saya akan memberi arahan kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, supaya Safari Memancing Tanjung Manis disenaraikan dalam kalendar pelancongan agar program dapat disusun.
“Penyertaan dalam kalendar itu membolehkan pemancing antarabangsa merancang perjalanan lebih awal dan membuat persiapan sewajarnya.
“Dengan cara ini, peminat memancing dari luar negara akan tahu tarikh lebih awal dan boleh bersedia untuk datang menyertai acara ini,” ujarnya.

