MUKAH: Keutuhan dan kestabilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bergantung kepada kekuatan akar umbi termasuklah ranting, sayap pemuda, wanita dan belia.
Naib Presiden PBB, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, tanpa sokongan dan kesatuan akar umbi, sesebuah parti politik tidak akan mampu bertahan.
“Tanpa sokongan di peringkat akar umbi daripada semua pihak ini, parti tidak akan wujud dengan stabil apatah lagi menjadi kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri perjumpaan santai dan makan tengah hari bersama-sama ahli PBB, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat memberitahu, kekuatan sebenar PBB terletak pada kesetiaan dan komitmen ahli di semua peringkat, bukan hanya di bahagian kepimpinan tertinggi.
“Kita tidak boleh melupakan peranan cawangan, ranting dan sayap parti yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan setiap agenda pembangunan negeri,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti di kawasan Tellian, Balingian dan Dalat atas sokongan padu yang sentiasa diberikan kepada kepimpinan kerajaan negeri selama ini.
Tambahnya, diharapkan segala usaha yang dilakukan oleh jentera di peringkat bawah akan terus dipermudahkan.
Sementara itu, Ketua Cawangan PBB Tellian yang juga ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, pertemuan santai bersama-sama akar umbi seperti ini amat penting bagi memperkukuh komunikasi dua hala di antara pemimpin dengan ahli, sekali gus mengukuhkan semangat kekitaan dalam parti.

