GEORGE TOWN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis larangan menghentikan kerja di lokasi kemalangan maut di sebuah tapak pembinaan di Bandar Tanjong Pinang.
Arahan itu dikeluarkan susulan siasatan terhadap insiden pada 1 Julai lalu yang mengorbankan seorang pekerja buruh binaan warga Indonesia selepas dihempap perancah pelantar kerja yang terjatuh dari aras lapan bangunan.
Siasatan awal mendapati mangsa berada di laluan luar bangunan berhampiran kawasan rehat pekerja ketika berurusan dengan majikannya sebelum perancah itu menghempap mangsa dan sebuah kenderaan.
JKKP turut mengeluarkan arahan larangan mengganggu kawasan kemalangan bagi memastikan lokasi dikekalkan dalam keadaan asal sehingga siasatan selesai. Majikan dan saksi kejadian turut dipanggil membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Tindakan penguatkuasaan akan diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang seperti dipetik Bernama.






