KUCHING: Keresahan penduduk di kawasan Simpang Baru, Jalan Batu Kitang, Kuching yang selama ini dibelenggu masalah bau busuk daripada longgokan sampah haram dijangka akan berakhir.
Lokasi haram yang dijadikan tapak pembungan sampah pelbagai jenis termasuk Buangan Terjadual oleh pihak tidak bertanggungjawab telah diserbu dalam satu operasi oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) pada tengah hari tadi.

Sebaik tiba di lokasi, pegawai daripada kedua-dua agensi berkenaan menjalankan pemeriksaan terperinci serta meneliti jenis sisa buangan yang dibuang di situ.
Seorang penduduk yang enggan dikenali pasri menyatakan kebimbangan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu.
“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah pelbagai jenis ini telah berlaku sejak enam bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, bukan sahaja sisa barangan harian, malah terdapat bangkai ayam yang turut dibuang di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, penduduk berkenaan meluahkan rasa lega dengan campur tangan pihak berkuasa yang tampil melakukan pemeriksaan dan dijangka akan mengambil tindakan susulan.

