ARTIKEL

Tarik swasta bangun tenaga baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Elektrik 2023 membolehkan Sarawak mempromosikan dan menarik penyertaan sektor swasta bebas untuk pembangunan penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

Sekali gus, meningkatkan keuntungan semua pihak berkepentingan dalam industri bekalan elektrik di negeri ini, demikian tegas ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin.

Menurutnya, pindaan turut membuktikan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mendapatkan matlamat pembangunan ekonomi jangka panjang yang mampan.

“Pada masa sama mencipta nilai pulangan kewangan bagi menarik dan menggalakkan lebih ramai pelabur dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui yang bersih.

“Ini kerana konsep pembeli tunggal oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) memainkan peranan penting dalam menggalakkan kecekapan dan memudahkan persaingan untuk semua tenaga elektrik yang dijana di Sarawak.

“Maknanya, konsep pembeli tunggal membolehkan penjanaan, perolehan, penghantaran, pengedaran, pembekalan dan pemantauan elektrik yang lebih cekap melalui rangka kerja kawal selia.

“Sehubungan itu, pindaan dalam RUU ini akan meningkatkan keuntungan semua pihak berkepentingan dalam industri bekalan elektrik Sarawak hasil daripada penggunaan tenaga yang lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menyokong RUU Elektrik (Pindaan) 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi pada persidangan DUN Ke-19, di sini, hari ini.

Jelasnya, tanggungjawab SEB sebagai pembeli tunggal di bawah pindaan untuk mendapatkan tenaga elektrik daripada pengeluar tenaga bebas.

“Antara lain memainkan peranan penting merancang dan mengurus perjanjian penjanaan elektrik untuk memastikan bekalan elektrik rendah karbon yang mencukupi kepada semua pihak berkepentingan.

“Ini akan membolehkan penyediaan rancangan (ramalan) permintaan lebih tepat bagi mengoptimumkan pengeluaran tenaga elektrik melalui sumber tenaga boleh diperbaharui kepada sistem grid elektrik Sarawak yang kini dimiliki dan diuruskan oleh SEB.

“Juga, akan memastikan kemampanan jangka panjang penjanaan elektrik daripada sumber boleh diperbaharui memandangkan SEB menghapuskan potensi konflik kepentingan melalui ketelusan yang lebih tinggi.

“Dalam masa sama menggalakkan lebih banyak pelaburan berpotensi dalam penjanaan elektrik melalui sumber boleh diperbaharui,” ujarnya.

LAIN-LAIN BERITA

Kebajikan golongan OKU terus diperjuangkan

MIRI: Kebajikan serta sokongan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) akan terus diperjuangkan bagi memastikan mereka mempunyai peluang dan hak yang sama rata dalam kalangan

BERITA TERBARU

Fahmi ulang jaminan keselamatan sistem PADU

Kerajaan mengulangi jaminan terhadap keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) susulan dakwaan sistem yang mengumpulkan data peribadi rakyat Malaysia itu digodam. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil