KUCHING: Inovasi linut segera menjadi tumpuan pengunjung di Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 oleh pengusaha tempatan, Dr Siti Mardinah Abdul Hamid.
Hidangan tersebut memastikan makanan tradisional masyarakat Melanau terus dikenali dan diwarisi generasi muda di Sarawak.
Siti Mardinah berkongsi pengalamannya menjual linut segera di dalam bekas plastik di pasar malam dan menjualnya hanya sebanyak 50 bekas.
“Dalam bekas tersebut, kami sertakan sambal dan limau nipis, hanya dijual serendah RM3.
“Namun permintaan sentiasa ada daripada pelanggan, sehingga linut yang dijual habis tidak sampai satu jam,” katanya kepada Suara Sarawak pada pelancaran awal Borneo Kitchen sempena Pameran Industri Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026, di Tebingan Kuching, hari ini.
“Ramai anak muda sekarang tidak mengenali linut sebagai makanan tradisional, tetapi mereka boleh mengenali makanan orang luar.
“Oleh itu, saya mengusahakan linut segera agar generasi muda sentiasa mengingati makanan tradisional rakyat tempatan Sarawak,” tambahnya.
Beliau juga berkongsi cabaran dalam mengusahakan linut segera, salah satunya kekurangan bahan mentah.
“Saya melakukan penyelidikan sebelum mengusahakan linut segera ini dan dalam masa yang sama semasa pandemik COVID-19, bahan mentah agak susah didapati.
“Saya harus memesan bahan mentah secara dalam talian daripada kenalan,” katanya.
Beliau juga berkata, semasa pandemik COVID-19, perniagaan linut segera harus dijalankan dari rumah sahaja, namun ada sisi positif.
“Walaupun harus menjual linut segera dari rumah, saya boleh mengambil masa untuk melakukan penyelidikan mendalam untuk linut,” katanya semalam.
Selain itu, katanya lagi bahawa pameran BIHAS ini membantu beliau dalam mempromosikan linut segera kepada pengunjung.
Siti juga berkongsi harapan agar usaha linut segera ini boleh dipromosikan sebagai salah satu makanan yang disediakan oleh pihak AirBorneo serta diharap menembusi pasaran antarabangsa.







