KUCHING: Perancangan dan pelaksanaan pembangunan di Sarawak khususnya di kawasan Taman Geo Delta mesti menitikberatkan kelestarian bagi membolehkan mendapat pengiktirafan Taman Geo Global UNESCO.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan pembangunan mampan itu penting bagi memacu sosioekonomi dan melonjakkan sektor pelancongan negeri ini.
“Pengiktirafan kawasan di selatan negeri ini termasuk yang di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai Taman Delta Geo Sarawak ini adalah setaraf Langkawi serta Perak.
“Kawasan ini mempunyai tarikan pelancongan tersendiri.
Justeru, penduduk yang tinggal di kawasan taman delta termasuk sekitar DBKU haruslah memainkan peranan masingmasing dalam memelihara kebersihan dan menjaga khazanah alam semula jadi ini.
“Ini penting kerana pelan jangka panjang Kerajaan Sarawak berhasrat menjadikan kawasan ini diiktiraf UNESCO dengan memiliki nilai estetika dan kelestarian alam sekitar unik yang berpotensi memacu ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Kejiranan Mesra (KJM) DBKU bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.
Berkeluasan 3,112km persegi, Taman Delta Geo Sarawak kaya dengan keunikan landskap batuan (28 geotapak), kepelbagaian biologi (12 biotapak) dan budaya (14 tapak budaya).
Formasi Delta Sarawak didasari pelbagai jenis unit yang berusia, merangkumi karbon hingga resen, selain dihuni spesies endemik di Borneo seperti Orang Utan, orang Belanda dan Cicak Batu Fairy serta kekayaan warisan budaya daripada seni bina, peralatan muzik, senjata sehingga kepada makanan yang terhasil daripada kewujudan masyarakat berbilang kaum.
Dalam pada itu beliau memberitahu komitmen Kerajaan Sarawak mempromosi dan meneroka tenaga hijau menjadikan negeri ini tumpuan negara-negara luar termasuk pihak yang ingin belajar.
“Malah semalam, saya menerima kunjungan kementerian luar Malaysia dan Kuching telah dipilih oleh Perdana Menteri untuk menjadi tuan rumah mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN pada tahun depan.
“Selain itu, pada tahun 2027 atau 2028 kita bakal menjadi penganjur Persidangan Air Sedunia.
Di samping bulan hadapan duta-duta dari seluruh dunia akan datang ke Kuching untuk melihat ekonomi Sarawak.
Ia juga turut membawa sekitar 1,000 ahli perniagaan dari seluruh Eropah,” ujarnya.
Dalam hal berlainan, beliau mengucapkan tahniah kepada DBKU kerana berjaya memperluas KJM ke kawasan Kuching Old Town yang merangkumi kawasan Main Bazaar, Jalan Gambier, Lebuh Carpenter, Lebuh India, Kai Joo Lane dan sebagainya.
“Ini merupakan kawasan budaya rakyat kita yang bukan Melayu dan juga Bumiputera lain dapat berinteraksi dengan seluruh warga DBKU,” katanya.

