KUCHING: Tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk mengisytiharkan hari permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini ditetapkan pada Jumaat depan (28 Februari).
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi negeri Sarawak, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Ramadan pada petang hari berkenaan di tiga lokasi.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Jumaat, 28 Februari 2025 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah.
“Lokasi yang terpilih di Sarawak adalah di Teluk Bandung, Kuching, Pusat Falak Miri, Esplanade Luak, Miri dan Pusat Falak Bintulu,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja juga akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh awal Ramadan yang ditetapkan melalui siaran radio dan televisyen.
Pada masa sama, Majlis Raja-Raja telah bersetuju cara menetapkan tarikh permulaan itu adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.






