ARTIKEL

JEMAAH haji menuju ke Mina untuk melakukan ibadah melontar sebagai sebahagian daripada ibadah haji di Mina pada 27 Mei 2026. | AFP

Tawaf Ifadah diurus sistem pintar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINA: Pada 10 Zulhijah, perjalanan jemaah haji untuk menunaikan Tawaf Ifadah bermula sebaik tiba di Masjidilharam, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi mengendalikan satu sistem bersepadu yang direka untuk memudahkan pelaksanaan ibadah itu secara lancar dan selamat menerusi perkhidmatan lapangan serta teknikal yang canggih, dengan tumpuan kepada pengurusan orang ramai dan keselesaan jemaah.

Di masjid itu, pasukan lapangan yang ditempatkan di laluan dan kawasan lapang menerima ketibaan jemaah haji serta memberikan panduan dan mengarahkan pergerakan ke laluan yang sesuai berdasarkan kepadatan jemaah. Mereka juga membantu menjawab pertanyaan jemaah dan memudahkan akses ke kawasan Mataf dan Sai.

Sebaik jemaah memasuki masjid, penderia pengiraan pintar yang dipasang di pintu masuk mula memantau aliran keluar masuk secara masa nyata, disepadukan dengan data operasi yang dipautkan kepada kad Nusuk bagi menentukan jumlah jemaah di dalam masjid dengan tepat.

Sistem itu menganalisis data secara berterusan dan membandingkannya dengan ambang kapasiti kawasan Mataf selaras dengan piawaian pengurusan orang ramai yang diluluskan, sekali gus membantu memastikan kelancaran pergerakan dan mengelakkan kesesakan.

Berdasarkan bacaan masa nyata itu, jemaah diarahkan ke kawasan tawaf yang bersesuaian. Apabila kepadatan jemaah berada dalam had yang dibenarkan, mereka dipandu ke kawasan Mataf di tingkat bawah, manakala keadaan lebih sesak menyebabkan jemaah dialihkan ke tingkat atas bagi memastikan pengagihan seimbang dan kelancaran pergerakan.

Selepas selesai bertawaf, jemaah bergerak ke kawasan sai menerusi laluan tersusun yang disokong papan tanda jelas dan petugas panduan, sekali gus memudahkan pergerakan antara Safa dengan Marwah dalam persekitaran operasi yang siap sepenuhnya.

Sementara itu, pasukan pembersihan dan sanitasi terus beroperasi sepanjang masa bagi memastikan kawasan solat dan laluan sentiasa bersih, sekali gus menjamin persekitaran yang selesa untuk jemaah.

Perkhidmatan air zamzam turut disediakan menerusi pusat pengagihan dan dispenser di pelbagai lokasi bagi memastikan jemaah mudah mendapatkan air berkenaan.

Bagi jemaah warga emas dan orang kurang upaya (OKU), pihak berkuasa menyediakan kenderaan elektrik dan “kerusi roda manual” di stesen tertentu, membolehkan mereka melaksanakan ibadah dengan lebih mudah dan tenang.

Selepas selesai sai, jemaah boleh memanfaatkan perkhidmatan tahalul (mencukur atau menggunting rambut untuk melepaskan diri daripada ihram selepas melakukan ibadah haji dan umrah) di lokasi khas yang disediakan mengikut piawaian pengurusan dan kesihatan yang ketat.

Sistem operasi bersepadu ini mencerminkan tahap penjagaan termaju yang disediakan untuk jemaah haji serta menyerlahkan penyelarasan antara perkhidmatan lapangan dengan teknikal yang membolehkan mereka menunaikan Tawaf Ifadah dan sai dalam suasana selamat serta teratur. – Bernama

BERITA LAIN

Trump siarkan video lelaki maut akibat harimau

WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump memuat naik rakaman yang mengemparkan di akaun Truth Social beliau pada Selasa, memaparkan seorang lelaki di Britain yang maut dibaham

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha