KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menawarkan khidmat seks di sebuah pusat urut, 4 Julai lalu.
Tertuduh 33 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 372b Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Syaheeqa Nazwa.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dia didakwa menawarkan khidmat seks di sebuah pusat urut di Jalan Penrissen, sekitar 4 petang, pada 4 Julai lepas.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, satu operasi Noda Khas dilakukan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Padawan.
Serbuan lalu berjaya menahan seorang wanita warga asing bersama-sama dengan seorang anggota penyamaran.
Rampasan barang milik tertuduh dilakukan seperti sekeping kondom, sebungkus tisu, sebotol minyak urut dan wang tunai bernilai RM200.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh menawarkan khidmat seks kepada pelanggan di pusat urut terbabit.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





