ARTIKEL

Tawar pengalaman pelancongan bernilai tinggi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia membuka tirai Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) secara rasminya bermula hari ini, menandakan permulaan satu kempen pelancongan nasional berskala besar dengan matlamat mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Lebih daripada sekadar kempen promosi, VM2026 digerakkan sebagai pemacu ekonomi baharu yang menyasarkan lonjakan pelawat domestik dan antarabangsa menerusi penawaran pengalaman pelancongan bernilai tinggi, pelbagai dan relevan dengan keperluan pelancong global masa kini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata kempen itu dirangka dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan teras negara, iaitu kepelbagaian budaya, khazanah alam semula jadi dan warisan sejarah, sekali gus memperkukuh jenama ‘Malaysia Truly Asia’ di pentas global.

Menurut beliau, Malaysia kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan pelaksanaan VM2026, yang digerakkan menerusi pendekatan pelbagai dimensi, menekankan peningkatan keterhubungan, pengukuhan kerjasama strategik serta pemacuan pertumbuhan pelancongan mampan dan bernilai tinggi.

“Fokus utama VM2026 adalah menarik pelawat berkualiti melalui tawaran pelancongan berteraskan pengalaman, memastikan pertumbuhan yang inklusif serta memberikan manfaat kepada komuniti setempat di seluruh negara,” katanya kepada Bernama.

VM2026 menyasarkan ketibaan 47 juta pelawat antarabangsa di samping memberikan penekanan berterusan terhadap peranan penting pelancong domestik.

Sepanjang 2026, lebih 300 acara utama akan dilaksanakan menerusi ‘Calendar of Events VM2026’ antaranya, Petronas Grand Prix of Malaysia, Rainforest World Music Festival serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia.

Malaysia juga bakal menyambut ketibaan tahun baharu dengan penganjuran sambutan khas di 55 pintu masuk antarabangsa serta hab pengangkutan utama negara bagi mengalu-alukan kedatangan pelawat sempena pelancaran rasmi VM2026, termasuk penganjuran VM2026 Countdown Festival pada 31 Dis 2025 di Pavilion Kuala Lumpur.

“Acara berprestij itu merupakan kolaborasi strategik antara MOTAC, Tourism Malaysia, Pavilion Kuala Lumpur dan The Fame Events yang akan menjadi pembuka tirai kepada tahun penuh aspirasi dalam menyemarakkan VM2026,” katanya.

Mengulas kelainan VM2026, Shaharuddin berkata kempen kali ini menekankan kepada dua tema utama, iaitu Destinasi Lestari dan Kaya Budaya yang menonjolkan keindahan alam semula jadi seperti hutan hujan tropika di Sabah dan Sarawak, Langkawi UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu) Global Geopark serta Taman Negara.

Kempen itu turut menyokong usaha pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar negara, termasuk spesies terancam seperti beruang matahari, orang utan dan Harimau Malaya, yang dikukuhkan dengan pemilihan beruang matahari sebagai maskot rasmi VM2026.

Selain alam semula jadi, VM2026 turut mengangkat kekayaan budaya dan cara hidup masyarakat majmuk Malaysia melalui warisan bersejarah seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town dan Melaka, di samping mempromosi hasil seni dan kraf tradisional termasuk batik, songket, perhiasan piuter dan ukiran kayu.

Usaha itu, menurut Shaharuddin turut merangkumi pengenalan pakej mesra semua segmen masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), antaranya pakej selaman skuba terapeutik Diveheart Malaysia.

VM2026 bukan sekadar kempen promosi, tetapi satu strategi nasional untuk merangsang ekonomi, mencipta pekerjaan berkualiti, memperkasakan komuniti dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, sambil memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mampan dan berdaya saing pada peringkat global, katanya. — Bernama

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium