ARTIKEL

Poster filem A Love Letter to Grandma.

Tayangan percuma A Love Letter to Grandma bermula 17 Jun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persatuan Teochew Kuching mengajak orang ramai menyaksikan tayangan filem budaya tempatan A Love Letter to Grandma yang akan mula ditayangkan pada 17 Jun ini menerusi siri tayangan khas dan pengedaran tiket percuma.

Filem berkenaan yang mengetengahkan elemen budaya Teochew, nilai kekeluargaan dan semangat warisan masyarakat perantau kini mendapat sambutan meluas serta mencatat peningkatan kutipan pecah panggung dengan kedudukan kedua carta box office Asia.

Tayangan khas di seluruh negara itu dianjurkan oleh Federation of Teochew Associations Malaysia dengan kerjasama persatuan ahli masing-masing yang akan mengadakan tayangan tertutup dan mengagihkan tiket percuma kepada komuniti Teochew serta orang awam yang berminat.

Menyokong inisiatif tersebut, Kuching Teochew Association menempah satu sesi tayangan khas di pawagam tingkat empat The Spring Shopping Mall pada jam 3 petang, 17 Jun melibatkan sebanyak 352 tiket.

Kesemua tiket percuma bagi sesi tersebut telah diagihkan sepenuhnya kepada penasihat kehormat, presiden kehormat, ahli jawatankuasa, sayap belia, sayap wanita, ahli persatuan serta komuniti Teochew.

Penajaan penuh tayangan khas itu disumbangkan oleh Presiden Kehormat persatuan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How.

Jawatankuasa persatuan turut merakamkan penghargaan atas sokongan tersebut serta menggesa semua penerima tiket hadir mengikut masa ditetapkan.

Dalam masa sama, Persatuan Teochew Kuching bersama Kuching Teo Khiaw Club turut menerima tajaan sebanyak 1,000 tiket filem daripada penasihat kehormat mereka untuk melaksanakan program agihan tiket percuma.

Bagi memberi peluang kepada lebih ramai penonton, tayangan percuma akan diteruskan selama lima malam berturut-turut bermula 17 hingga 21 Jun di lokasi sama dengan setiap tayangan bermula pada jam 7.30 malam.

Petugas jawatankuasa akan berada di pintu masuk pawagam bermula jam 6.30 petang untuk mengagihkan tiket kepada komuniti Teochew dan orang awam.

Agihan dibuat berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, terhad kepada satu tiket bagi setiap individu dan sebanyak 200 tiket disediakan setiap malam.

Difahamkan, A Love Letter to Grandma diterbitkan di wilayah Chaoshan pada awal bulan lalu dan menampilkan pelakon amatur tempatan tanpa penglibatan bintang terkenal.

Walaupun dihasilkan dengan bajet sederhana, filem itu menerima pujian kerana jalan cerita yang menyentuh emosi serta penyampaian yang tulus.

Menggunakan dialek Teochew sebagai bahasa utama, filem tersebut mengangkat kisah generasi terdahulu masyarakat Teochew yang berhijrah ke Asia Tenggara demi mencari kehidupan lebih baik serta hubungan emosi yang dipelihara menerusi surat kiriman wang atau qiaopi.

Penganjur berkata tayangan percuma ini bertujuan mengenang pengorbanan generasi terdahulu yang berhijrah membina kehidupan baharu selain membantu generasi muda memahami semangat juang, ketabahan dan daya tahan nenek moyang mereka.

Menurut penganjur lagi, walaupun filem ini menggunakan dialek Teochew, tema penghijrahan, keluarga, pendidikan serta nilai kemanusiaan yang dipaparkan mempunyai nilai sejagat dan dekat dengan pengalaman masyarakat perantau di seluruh dunia khususnya Asia Tenggara.

Orang ramai yang berjaya memperoleh tiket percuma diminta hadir tepat pada masa manakala kanak-kanak tidak digalakkan dibawa masuk bagi memastikan kelancaran tayangan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi pejabat persatuan di talian 082-242457.

BERITA LAIN

JEP SEPAHTU bayar zakat RM1.93 juta

JEP SEPAHTU sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi 16 resit pembayaran zakat bagi tempoh 2016 hingga 2025 yang menunjukkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.93 juta. Perkongsian

BERITA TERBARU