KOTA SAMARAHAN: Penantian selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil buat Taylor Louise apabila penyanyi muda Sarawak itu menerima undangan menghadiri sesi uji bakat Britain’s Got Talent (BGT) di London.
Sesi uji bakat edisi ke-20 itu dijadualkan berlangsung pada 5 September, jam 1 petang.
Taylor berkata, undangan berkenaan diterimanya menerusi e-mel selepas permohonannya terpilih, sekali gus membuka peluang untuk beliau melangkah ke peringkat uji bakat program pencarian bakat terkenal itu.
Menurutnya, beliau masih terkejut dan cuba menerima hakikat bahawa usaha memohon selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil.
“Saya benar-benar gembira, terharu, amat bersyukur dan teruja kerana selepas memohon selama dua tahun, saya akhirnya menerima undangan untuk menghadiri uji bakat BGT di London,” katanya menerusi hantaran di Facebook, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Taylor menyedari undangan itu hanyalah permulaan perjalanan dan belum menjamin tempatnya dalam pertandingan berkenaan, namun sekiranya diberikan peluang, beliau berbesar hati membawa suara anak Sarawak dan Malaysia ke pentas dunia.
“Saya tahu ini baru permulaan perjalanan dan ia hanyalah satu uji bakat, namun jika Tuhan membuka pintu ini, saya amat berbesar hati untuk membawa suara kecil dari Sarawak, Malaysia kepada dunia,” ujarnya.
Pada masa sama, Taylor optimis segala urusannya akan dipermudahkan bagi merealisasikan impian menghadiri sesi uji bakat tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, guru, jurulatih serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan seninya.
Taylor turut memohon orang ramai mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan dalam usaha merebut peluang berharga itu.
Britain’s Got Talent (BGT) merupakan program pencarian bakat terkenal di United Kingdom yang mula disiarkan pada 2007 dan terbuka kepada individu serta kumpulan daripada pelbagai bidang persembahan.
Program itu menampilkan pelbagai bakat termasuk nyanyian, tarian, komedi, silap mata dan persembahan akrobatik untuk dinilai barisan juri serta penonton.
Peserta yang berjaya melepasi beberapa peringkat pemilihan berpeluang mara ke pentas utama sebelum bersaing dalam pusingan akhir.



