MUKAH: Program Hari Bersama Pelanggan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang dilaksanakan serentak dengan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri berjaya memperkukuh jalinan hubungan antara institusi berkenaan dengan masyarakat setempat.
Majlis yang berlangsung di Dewan Seri Pekala, Kampung Kuala Lama hari ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.

Kehadiran Royston dalam program tersebut mencerminkan sokongan berterusan beliau terhadap usaha TBS dalam memperkasakan pengurusan zakat serta kebajikan masyarakat di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan TBS Bahagian Mukah, penganjuran program itu bertujuan memantapkan silaturahim antara pihak TBS dengan para pelanggan mereka.
“Ini kerana mereka terdiri daripada penyumbang serta penerima bantuan, di samping meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak TBS.
“Program seumpama ini diharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara TBS dengan pelanggan, seterusnya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan zakat dalam membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Mengulas mengenai pengisian program, pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi memeriahkan suasana termasuk persembahan lagu Aidilfitri, sudut gambar bertemakan hari raya, kuiz zakat serta pembukaan Kaunter Perkhidmatan Zakat Potongan Gaji bagi memudahkan urusan orang ramai.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan jamuan raya dan sesi ramah mesra yang memberi peluang kepada pelanggan untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pengurusan TBS.
Usaha sedemikian diharap dapat memantapkan lagi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak sekali gus melonjakkan kesedaran komuniti terhadap peranan zakat dalam pembangunan sosioekonomi ummah.

