TBS sumbang bantuan berjumlah RM5,190 kepada lima penerima

KUCHING: Sejumlah RM5,190 bantuan telah diagihkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) kepada lima penerima, baru-baru ini.

Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd. Shibli Abang Mohd Nailie berkata, penerima sumbangan tersebut terdiri daripada dua Program Utama TBS iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.

“Program-program bantuan yang dilaksanakan oleh TBS adalah sepanjang tahun dan terbuka kepada mereka yang layak serta memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Ia juga sejajar dengan Garis Panduan Agihan yang telah diluluskan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak bagi memastikan seseorang pemohon itu berhak mendapatkan bantuan mereka,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Terdahulu, majlis penyerahan yang dianjurkan oleh TBS melalui Cawangan Petra Jaya itu disempurnakan oleh Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran TBS Sulaiman Mahili di Ummah Distribution Centre (UDC), di sini, baru-baru ini.

Tambah Abang Shibli, UDC adalah manifestasi ekosistem Baitulmal dan merupakan sistem penyampaian bersepadu yang merangkumi kutipan, agihan dan pentadbiran yang telah mula beroperasi pada 15 Disember 2020.

“Prasarana ini dibangunkan bertujuan untuk membawa masyarakat bersama-sama untuk membantu mereka yang memerlukan melalui pegemblengan pelbagai platform termasuk crowdfunding, e-wallet dan mengoptima fasiliti wakaf.

“Aplikasi digital secara kad pintar di UDC juga memudahkan sistem pembayaran untuk orang awam yang hendak membuat pelbagai sumbangan dan juga kredit bagi menyalur peruntukan agihan atau bantuan kepada mereka yang layak,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelas beliau, TBS amat prihatin dalam memastikan golongan yang berhak dibantu bagi melepaskan diri mereka daripada kesempitan hidup.

“Selain itu, sejajar dengan tema TBS ‘Baitulmal Tanggungjawab Kita Bersama’ TBS sentiasa mengharapkan agar masyarakat Islam menyokong peranan TBS dengan menunaikan kefardhuan berzakat.

“Ia sekali gus bermatlamat memberi kesejahteraan kepada masyarakat Islam di negeri ini,” katanya lagi.

Hadir sama Timbalan Ketua Sektor Iskandar Allan, Ketua Cawangan Petra Jaya  Serifah Fatimah Wan Abu Kassim serta pegawai TBS.