SERIKIN: Laluan haram akses ke sempadan Malaysia-Indonesia masih menjadi sasaran penyeludup apabila Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan membawa keluar pelbagai barangan terkawal dan runcit bernilai lebih RM112,000 ke Indonesia, petang semalam.
Divisyen Pertama Infantri Malaysia (MK 1 Div) menerusi jurucakapnya berkata, dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, pasukan operasi Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) di bawah kawalan operasi Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Bgd) mengesan sebuah lori satu tan berwarna putih bergerak dari arah laluan haram di kawasan itu menuju ke sempadan Malaysia-Indonesia.
“Lori berkenaan ditahan kira-kira 700 meter dari sempadan negara hasil integrasi maklumat perisikan dan tindakan pasukan operasi menerusi Op Keris Parang.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori Hino XZU410 keluaran 2020 itu dipandu seorang warga tempatan dan membawa pelbagai barangan terkawal serta barangan runcit tanpa dokumen perjalanan atau pengesahan muatan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Tambah jurucakap itu, keseluruhan barangan dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM112,845.21, termasuk lori berkenaan yang bernilai RM75,000.
Katanya, antara barangan yang dirampas ialah 354 kampit gula bernilai RM14,160, 205 kotak minyak masak (RM8,712.50), 15 kotak Milo (RM4,860), 15 kotak arak Guinness Foreign Extra Stout (RM4,080) serta 65 kotak Maggi perisa kari.
“Turut dirampas sebuah telefon bimbit iPhone 16 Plus, beberapa kotak biskut dan wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia, Rupiah Indonesia serta Swiss Franc.
“Individu terbabit bersama keseluruhan barang rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.



