KUCHING: Team Flash mengungguli Kejohanan GEMA Esports PUBG Mobile GEMA@KKDW 2026 selepas mengumpul 138 mata keseluruhan untuk muncul juara dalam saingan enam peta di Dewan Serbaguna Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan, pada Ahad.
Kejayaan itu diraih selepas Team Flash merekodkan dua kemenangan Chicken Dinner, selain mengumpul 28 mata kedudukan dan 110 mata penyingkiran bagi meninggalkan LMG SWK di tempat kedua dengan 89 mata, manakala Flagship ketiga dengan 61 mata.

Pengerusi pertandingan, Salleh Chiew berkata, kejohanan berlangsung lancar seperti dirancang dengan penyertaan yang menggalakkan daripada golongan muda.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan e-sukan di Sarawak mahupun Malaysia dan melihat sukan ini mempunyai potensi untuk terus berkembang,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Dalam saingan tersebut, Team Flash menguasai kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, diikuti LMG SWK yang mengumpul 18 mata kedudukan dan 71 mata penyingkiran, manakala Flagship mencatat 36 mata kedudukan serta 25 mata penyingkiran.
Selain keputusan pasukan, Muhd Ar Rayyan muncul pemain paling bernilai (MVP) kategori penyingkiran terbanyak selepas mengumpul 37 mata sepanjang enam peta, diikuti UZoro dengan 28 mata dan FLujangboy sebanyak 25 mata.
Salleh berkata, pihak penganjur turut memberi perhatian aspek disiplin pemain bagi memastikan pertandingan berlangsung dalam suasana positif dan profesional.
“Isu provokasi dan mengejek yang semakin berlaku dalam e-sukan saya pandang serius. Saya memastikan provokasi berlebihan sehingga melibatkan perkataan lucah atau mencarut tidak berlaku dalam pertandingan kendalian saya.
“Kita mahu e-sukan berkembang dalam suasana yang sihat dan menjadi ruang kepada golongan muda menunjukkan kemahiran serta bakat mereka,” katanya.
Juara, Team Flash membawa pulang RM1,000 berserta piala dan cek replika, manakala LMG SWK sebagai naib juara menerima RM750, sementara Flagship di tempat ketiga membawa pulang RM500.
Kedua-dua pasukan turut menerima piala dan cek replika, manakala Rayyan selaku MVP menerima RM200, menjadikan keseluruhan hadiah yang ditawarkan berjumlah RM2,450.
Pertandingan anjuran Kelab Sukan Elektronik KS dengan kerjasama Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi inisiatif GEMA@KKDW itu menghimpunkan 16 pasukan membabitkan 64 peserta, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan dalam e-sukan.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.



