ARTIKEL

Babak menarik dalam pementasan teater Peta 63.

Teater Peta 63 angkat tema perpaduan negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Mengangkat tema perpaduan sebagai tunjang kelangsungan negara sepanjang 63 tahun penubuhan Persekutuan Malaysia, teater Peta 63 menterjemahkan perjuangan tanah air menerusi adunan realiti dan imaginasi kreatif.

Pengarah teater Peta 63, Abdul Wahab Firdaus Hairaf.

Pementasan Teater Perdana tersebut diadakan selama tiga malam pada 21 hingga 23 September 2026 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan bukan sekadar persembahan pentas biasa.

Naskhah gergasi ini hadir sebagai sebuah wahana refleksi sejarah, menyentuh sanubari penonton serta menyemarakkan lagi jati diri bangsa sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP.

Pementasan berprestij ini merupakan hasil kolaborasi dan kerjasama erat yang sudah lama terjalin antara DBP Cawangan Sarawak dan Persatuan Penggiat Seni Teater Kuching (Tongkat Paroh).

Gabungan erat antara badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) ini terbukti memaknakan lagi wibawa, nilai, serta kualiti seni persembahan pentas tempatan.

Mendapat sentuhan sutradara berpengalaman, Abdul Wahab Firdaus Hairaf, 51, pementasan “Peta 63” dibina atas keinsafan bahawa teater merupakan salinan daripada realiti kehidupan.

Anak jati Kuching yang mendapat pendidikan awal di SMB St. Thomas ini menterjemahkan jiwa dan gelora sejarah ke atas pentas dengan penuh berhemah, sekali gus membuktikan teater mampu menjadi wadah terbaik untuk menegur, memesan, serta menginsafkan masyarakat.

Laras Sejarah dan Warna-warni Fiksyen

Mengulas mengenai proses kreatif dan cabaran dalam menjayakan pementasan ini, Abdul Wahab mengakui bahawa membawa naratif sejarah secara tuntas di atas pentas merupakan satu tugasan yang amat rumit dan mencabar.

“Cabaran paling hebat adalah membawa sejarah secara tuntas di atas pentas dan hal ini amat rumit kerana sejarah tidak boleh diubah sesuka hati,” katanya.

“Justeru, para pelakon cuba membawa perwatakan pada zaman itu dengan peranan mereka seakan-akan merasai situasi sebenar waktu tersebut,” jelas beliau ketika ditemui selepas pementasan teater di Balai Budaya, DBPCS baru-baru ini.

Sebagai pengarah, beliau bijak mengimbangi antara fakta sejarah yang berat dengan elemen penceritaan yang menarik.

“Sebagai pengarah persembahan, warna-warni persembahan perlu ada campuran atau bauran fiksyen untuk tidak terlalu dimomok dengan fakta yang serius,” katanya.

“Hakikatnya, sejarah hanya memilih fakta, sedangkan teater memilih cerita,” tambah beliau lagi.

Bauran kreatif tersebut nyata memikat emosi khalayak.

Hampir setiap babak disajikan dengan impak rasa yang mendalam daripada suasana dramatik, sedih, dan saspens, sehinggalah kepada detik lucu serta menggeramkan.

Pengalaman emosi yang pelbagai ini menjadikan penonton terikat erat dengan garapan plot dari awal hingga akhir persembahan.

Bahasa Melayu Pemersatu, Wadah Bakat Sarawak

Seiring dengan sambutan usia DBP yang kini menjangkau 70 tahun, pementasan “Peta 63” turut membawa misi penting dalam mempertegaskan semula peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan yang sah seperti yang termaktub dalam undang-undang negara.

Abdul Wahab meletakkan persoalan penting untuk direnungi bersama oleh masyarakat.

“Apakah setelah 63 tahun Malaysia terbentuk, rakyat masih meragui peranan Bahasa Melayu sebagai pemersatu rakyatnya?” soalnya.

Pementasan ini secara tidak langsung memberi jawapan tegas bahawa bahasa kebangsaan adalah tiang seri penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia.

Dalam pada itu, pementasan ini turut membuktikan keupayaan penggiat seni tempatan Sarawak yang kini telah melangkah jauh ke hadapan.

Gabungan mantap antara pelakon berpengalaman dan bakat baharu menyerlahkan keserasian yang luar biasa, sekali gus memberikan gambaran yang amat menjanjikan bagi perkembangan industri seni persembahan di Sarawak pada masa hadapan.

Lokasi pementasan di DBP Cawangan Sarawak juga membuktikan peranan agensi berkenaan sebagai hab seni persembahan yang dinamik.

Keterbukaan DBP menyediakan ruang, peluang, serta sokongan berterusan kepada anak seni tempatan untuk berkarya nyata menjadi pemangkin utama kepada kemajuan seni budaya di negeri ini.

Menyemai Kesedaran Sejarah Kepada Belia

Selain menyajikan seni pentas yang berkualiti tinggi, “Peta 63” turut membawa mesej pengajaran sejarah yang mendalam, khususnya buat generasi belia.

Abdul Wahab Firdaus menekankan bahawa generasi muda hari ini berdepan cabaran untuk memahami sejarah secara hakiki kerana mereka lahir dalam era kemakmuran.

“Generasi kini sukar untuk memahami sejarah kerana secara alamiahnya mereka tidak melalui sakit perit menuntut kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah,” katanya.

“Generasi kini sudah menikmati segalanya tanpa merasai segala pancaroba dan gelora sengsara zaman dahulu,” ujarnya.

“Oleh yang demikian, wahana teater ini memberi sedikit sebanyak keterasaan itu agar mereka terdorong untuk mencari dan membaca buku sejarah demi lebih menghayati bagaimana merdeka itu diperoleh,” jelas beliau.

Sambutan Hangat, Cadangan Ke Ibu Kota

Sambutan yang diterima sepanjang tiga malam pementasan di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak adalah amat luar biasa.

Setiap malam, dewan dipenuhi dengan kehadiran penonton yang teruja, manakala ulasan serta pandangan positif mengenai teater ini turut tular di platform media sosial.

Ekoran sambutan hangat dan maklum balas yang begitu memberangsangkan daripada masyarakat, timbul cadangan daripada peminat seni pentas agar pementasan “Peta 63” dibawa bertandang ke ibu kota, Kuala Lumpur.

Malah, ada juga cadangan agar teater ini dibuat secara tayangan langsung dalam media sosial untuk capaian penonton yang lebih luas pada masa akan datang.

Mendedahkan reaksi terhadap cadangan tersebut, Abdul Wahab memberitahu bahawa pihak pengurusan terbuka dengan maklum balas penonton, namun semuanya tertakluk kepada keadaan dan perancangan selanjutnya kelak.

Kejayaan “Peta 63” terbukti bukan sahaja menghidupkan malam Sambutan Hari Malaysia dan Ulang Tahun DBP, malah mengukuhkan lagi teater sebagai cermin realiti yang berkesan dalam merapatkan jurang generasi dan menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road