BARAM: Kerajaan Sarawak bakal membina jalan baharu melalui tebingan Sungai Tinjar di Baram.
Jalan tersebut sekali gus memberi kemudahan kepada penduduk setempat.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil jalan baharu memendekkan perjalanan dari Lapok ke Rumah Niga, Sungai Nyiro dan seterusnya ke Long Teran Kiri dan Long Teran Batu melalui tebingan Sungai Tinjar di sebelah kiri.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Niga, Sungai Nyiro, Tinjar di sini pada Ahad lepas.
ADUN Marudi itu turut menambah, beliau berunding dengan agensi terlibat untuk menyambung bekalan air bersih di kawasan tersebut dengan menggunakan laluan jalan yang sama.
“Bekalan air terawat daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta bekalan elektrik 24 jam disalurkan ke penempatan berkenaan mengikut jalan tersebut dan pelaksanaannya akan dirancangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kelak,” tambahnya.

