SADONG JAYA: Tedung Melancar muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Terbuka Piala Datuk Ir. Aidel Lariwoo Edisi Ke-4 2026 selepas menewaskan Kaslo FC 3-1 pada aksi final di Padang Perpaduan Kampung Semera Lot, petang tadi.
Kemenangan itu membolehkan Tedung Melancar membawa pulang wang tunai RM6,000 berserta piala dan pingat, manakala Kaslo FC selaku naib juara menerima RM4,000 berserta piala dan pingat.

Satar Akau dari Tedung Melancar dinobatkan sebagai Pemain Terbaik, manakala Winson Liaw dari Kaslo FC muncul Penjaring Terbanyak. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM200.
Khaitifia Veteran FC dan One V United yang tewas di peringkat separuh akhir berkongsi tempat ketiga serta membawa pulang wang tunai RM2,000, piala dan pingat.
Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo.
Kejohanan yang bermula pada 20 Jun lalu dianjurkan Kaslo FC dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Semera Lot, melibatkan 40 pasukan dari Samarahan, Kuching, Serian dan kawasan berhampiran.



