ARTIKEL

Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pay & Go Sdn Bhd Eddie Wee sambil disaksikan oleh Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Teknologi digital perkukuh usaha kemanusiaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Sarawak bersama dengan Pay & Go Sdn Bhd menerusi platform eDerma Pay & Go dilihat sebagai langkah pertama dalam membina ekosistem perkongsian kemanusiaan baharu di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, aplikasi Pay & Go menyumbang lebih daripada sekadar teknologi, malah menunjukkan bagaimana inovasi boleh memperkukuhkan nilai kemanusiaan.

Menurutnya, platform digital yang selamat itu dapat mengurangkan halangan antara individu yang mahu membantu dengan golongan memerlukan.

Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Platform eDonation Pay & Go dan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama PBSM Cawangan Sarawak dan Pay & Go Sdn Bhd.

“Ia mengubah kemurahan hati kepada tindakan segera serta membolehkan rasa prihatin disalurkan sepantas teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rasmi Platform eDonation Pay & Go dan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah di sebuah hotel di sini, hari ini.

George Chan berkata, cabaran kemanusiaan kini semakin kompleks berikutan perubahan iklim, peningkatan keperluan penjagaan kesihatan dan ketidaktentuan ekonomi yang memberi tekanan kepada keluarga terdedah.

Katanya, perkembangan teknologi turut mengubah cara masyarakat hidup, bekerja dan berhubung, justeru pendekatan dalam menggerakkan usaha kemanusiaan juga perlu berubah.

Beliau turut mengajak pemimpin korporat di Sarawak supaya melihat kerjasama kemanusiaan bukan hanya dari sudut sumbangan kewangan, tetapi berdasarkan kekuatan dan kepakaran yang boleh disumbangkan.

Sementara itu, George Chan berkata platform tersebut turut memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk menyumbang kepada usaha kemanusiaan secara lebih mudah menerusi telefon bimbit.

Katanya, hanya dengan satu sentuhan, orang ramai boleh membantu memastikan ambulans terus beroperasi, menyokong mangsa bencana membina semula kehidupan serta menyokong program kesihatan dan komuniti yang memerlukan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU