ARTIKEL

Gambar hiasan

Teknologi imersif: Revolusi industri pembinaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Memiliki kediaman sendiri menjadi impian hampir kebanyakan kita.

Justeru, bayangkan kehampaan yang dirasai apabila rumah yang dibeli lambat siap atau siap namun penuh kecacatan dan perlu dibaik pulih.

Isu-isu sebegini masih membelenggu industri pembinaan negara, khususnya melibatkan projek perumahan, dan seakan sukar untuk dinoktahkan.

Realitinya, pakar berpendapat penggunaan teknologi imersif, iaitu satu bentuk teknologi digital yang merangkumi antaranya realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), dan realiti campuran (MR), dapat menangani permasalahan tersebut.

Malah, kata mereka, penggunaan teknologi imersif sebagai pelengkap kepada Building Information Modelling (BIM) yang kini digunakan oleh sesetengah syarikat pemaju di negara ini, mampu memberi perubahan besar kepada industri pembinaan negara, khususnya dari segi kos, kualiti, produktiviti, dan juga keselamatan.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim, menjelaskan teknologi imersif sebagai teknologi yang mewujudkan pengalaman interaktif dengan menggabungkan elemen dunia nyata dan maya dalam persekitaran digital.

“Penggunaan teknologi imersif dalam keseluruhan kitaran sesebuah projek, bermula dari reka bentuk hingga visualisasi keseluruhan projek siap, dapat mengenal pasti pelbagai masalah yang mungkin timbul sepanjang perjalanan projek atau selepas projek siap,” katanya kepada Bernama.

Mengambil contoh VR dan AR, beliau berkata teknologi itu membolehkan pihak berkepentingan meneliti kecacatan reka bentuk dan sebagainya.

“Misalnya, VR dan AR membantu dalam memberi idea berkaitan struktur binaan atau reka bentuk bangunan yang kita inginkan.

Sekiranya menggunakan cara manual atau konvensional, masalah mungkin timbul akibat kesilapan reka bentuk,” katanya.

“Dari situ, banyak keputusan berkenaan projek pembangunan dapat dicapai dengan cepat sebelum projek sebenar dilaksanakan,” tambahnya.

Mohd Hilmi Izwan berkata apabila teknologi imersif digunakan secara meluas, impak positif turut dinikmati oleh komuniti setempat sebagai hasil daripada pembangunan yang lestari.

“Dalam revolusi teknologi ini, ia akan menggambarkan keseluruhan pembangunan itu.

Di sini kita dapat menumpukan pada kecekapan tenaga, pemuliharaan sumber, dan menggalakkan persekitaran hidup yang sihat,” ujarnya.

Tambahnya, teknologi imersif turut berupaya menghasilkan reka bentuk bandar yang lebih baik dan terancang, terutamanya dari segi infrastruktur dan kemudahan awam.

Sementara itu, menurut penyelidik di Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar UTHM, Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom, laporan CIDB mendapati, di sebalik pelbagai galakan dan insentif, penggunaan teknologi digital khususnya teknologi imersif masih belum meluas.

Katanya, menerusi Pelan Strategik Pembinaan 4.0, CIDB mahu memperkenalkan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT), dan teknologi imersif dalam sektor pembinaan.

“Bagaimanapun, kajian yang dijalankan CIDB mendapati kesedaran tentang teknologi imersif dalam kalangan syarikat pembinaan Malaysia masih pada tahap sederhana,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Md Asrul Nasid melihat kos peralatan yang tinggi serta kurangnya tenaga kerja mahir dalam bidang itu sebagai faktor penyebab teknologi imersif tidak digunakan secara meluas dalam industri pembinaan di Malaysia.

“Usaha memperkasa teknologi imersif bukan hanya berbangkit di Malaysia, malah di luar negara. Ketika ini, University of Melbourne dan Cambridge University turut membuat penyelidikan berteraskan teknologi imersif ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui pihak kerajaan telah mula mengambil langkah menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam industri itu dengan memberikan insentif seperti geran kepada syarikat yang melabur dalam pembangunan teknologi digital termasuk teknologi imersif.

“Dalam dunia yang semakin canggih dan pantas, keupayaan teknologi imersif menyediakan pengalaman interaktif dan realistik telah menjadi satu kekuatan terbesar dalam merevolusikan industri pembinaan,” tegas beliau. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU