BALINGIAN: Penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman padi mampu meningkatkan produktiviti hasil, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh serta memperkukuh tahap sara diri makanan di Sarawak.
ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, usaha memperkenalkan jentera dan mesin moden kepada petani merupakan langkah penting dalam memperkasa sektor pertanian, khususnya di kawasan luar bandar.
“Penggunaan teknologi dapat memudahkan urusan penanaman dan pengurusan sawah.
“Pada masa sama, ia mampu meningkatkan kecekapan kerja sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada golongan petani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi Demonstrasi Uji Guna Jentera Penanaman Padi di Rumah Ulin, Sungai Nawan, Kuala Balingian, semalam.

Sehubungan itu, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkenalkan teknologi moden bagi memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan daya saing industri padi di negeri ini.
Jelasnya, usaha seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi, malah mampu memperkukuh keselamatan makanan serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup para petani.
Dalam pada itu, penduduk Rumah Ulin turut mengikuti kursus dan latihan yang dikendalikan Jabatan Pertanian Sarawak melibatkan penerangan secara teori serta demonstrasi praktikal pengendalian, penggunaan dan penyelenggaraan jentera.
Program tersebut bertujuan memastikan petani mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk mengendalikan jentera secara berkesan dan selamat, sekali gus memaksimumkan manfaat teknologi yang diperkenalkan.





