JULAU: Penggunaan teknologi pintar, mekanisasi dan inovasi di peringkat kebun diberi penekanan dalam usaha mempertingkat produktiviti serta pendapatan pekebun lada, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Perkara itu dizahirkan ketika beliau bersama Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii, mengadakan lawatan kerja ke kebun lada milik Nalong Jantan di Nanga Langu, di sini, semalam.

Lawatan berkenaan membolehkan kepimpinan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meninjau sendiri kemajuan tanaman lada di kawasan pedalaman, selain mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu, cabaran serta keperluan yang dihadapi pekebun kecil.

Dalam kunjungan itu, delegasi turut diberi pendedahan mengenai beberapa pendekatan berasaskan teknologi, termasuk demonstrasi aplikasi Dr.Lada, Projek Piperspectral dan operasi dron bagi menyokong pengurusan tanaman yang lebih sistematik serta berkesan.

Turut diperlihatkan ialah penggunaan sistem fertigasi dan Internet of Things (IoT), di samping demonstrasi mesin pemprosesan lada yang boleh digunakan terus di kawasan kebun bagi meningkatkan kecekapan kerja serta pengendalian hasil.

Noraini berkata, penerapan teknologi seperti itu amat penting bagi membantu pekebun mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah konvensional, meningkatkan hasil tanaman dan mengurus kebun dengan lebih cekap.

“Usaha memperkasakan sektor lada perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui kerjasama erat antara KPK, Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan komuniti pekebun supaya industri berkenaan kekal berdaya maju serta mampu bersaing di peringkat lebih luas,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Sii, yang juga Ahli Parlimen P.208 Sarikei dan ADUN N.45 Repok, turut bersama dalam lawatan berkenaan yang mencerminkan komitmen kementerian untuk terus mendampingi pekebun kecil serta memastikan pembangunan sektor agrikomoditi memberi impak langsung kepada komuniti luar bandar.




