KUCHING: Kampung Telaga Air bakal muncul sebagai hab pelancongan berasaskan air dengan pembangunan terancang yang menyasarkan acara bertaraf antarabangsa pada masa depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keunikan lagun semula jadi serta kedudukan strategik menjadikan Telaga Air lokasi terbaik bagi penganjuran acara seperti regata, sukan air dan pertandingan bot laju.

“Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lagi, apabila Kuching semakin padat, Regata Sarawak mungkin tidak lagi sesuai diadakan di bandar.
“Ketika itu, Telaga Air dengan keindahan semula jadi serta lagunnya adalah lokasi paling ideal untuk mengambil alih,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Regata Telaga Air di Esplanad Kampung Telaga Air, hari ini.

Tambah beliau, pelan induk pembangunan Telaga Air perlu merangkumi kemudahan infrastruktur yang terancang.
“Ini termasuk kemudahan jalan raya, pengangkutan, susun atur perumahan, tebingan sungai, tempat letak kenderaan dan aspek kebersihan, keselamatan serta pengurusan sisa.

“Telaga Air akan menjadi sebahagian daripada Greater Kuching sama seperti Samarahan. Saya juga ada banyak kenangan peribadi di sini ketika memancing dan menyelam sekitar Pulau Satang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penganjur agar menitikberatkan kebersihan dan keselamatan makanan demi menjaga imej Telaga Air.
“Saya turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) atas usaha mereka yang sentiasa menganjurkan Regata Telaga Air.
“Selain itu, kerjasama erat di antara LCDA dan MPP diperlukan untuk merangka pelan pembangunan menyeluruh.
Sementara itu, Pengerusi MPP Tan Kai berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk menaik taraf bangunan dan infrastruktur di kampung tersebut termasuk kawasan tebingan sungai.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan, kami mahu penduduk, pengunjung dan pelancong bersama-sama menjaga kemudahan ini supaya kekal terpelihara sebagai warisan masa depan.
“Setiap kali menganjurkan acara besar seperti Festival Telaga Air atau Regata Telaga Air, kami pastikan kawasan ini dibersihkan sepenuhnya.
“Namun, masyarakat juga perlu memainkan peranan menjaga kebersihan agar Telaga Air mampu diangkat ke peringkat antarabangsa,” jelasnya.




