TANJUNG MANIS: Penganjuran Temasya Laut Tani secara tahunan mampu menjadi pemangkin sektor pelancongan Pulau Bruit, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara itu perlu dirancang secara konsisten serta menetapkan tarikh tetap setiap tahun bagi memudahkan pengunjung merancang perjalanan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Bruit 2026 di RGC Semop, di sini, hari ini.
Abdul Karim turut mencadangkan supaya keunikan sungai di sekitar Pulau Bruit dimanfaatkan menerusi penganjuran acara regata sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung.
Aktiviti pelancongan yang dianjurkan secara berterusan bukan sahaja meningkatkan daya tarikan destinasi, malah membuka peluang kepada penduduk tempatan menjana pendapatan melalui perniagaan makanan, penghasilan kraf tangan dan penyediaan kemudahan penginapan.
Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan rakyat supaya menilai pencapaian serta rekod pentadbiran kerajaan sepanjang tempoh lima tahun lalu dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai tawaran serta janji menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13.
Katanya, rakyat perlu memberikan pertimbangan sewajarnya kepada kepimpinan yang memahami keperluan, kepentingan dan hala tuju pembangunan Sarawak.




