ARTIKEL

Tempoh Al-Sultan Abdullah sebagai Agong berakhir 30 Jan tahun depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menzahirkan penghargaan atas sokongan Raja-Raja Melayu yang membolehkan pelbagai peristiwa dan dugaan melanda negara dalam tempoh hampir lima tahun sejak 2019 dapat diatasi Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah, yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan tahun depan, bertitah walaupun menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, Raja-Raja Melayu sentiasa membantu mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata.

“Sama ada ketika berhadapan kemelut politik dan pandemik COVID-19, sepanjang Paduka Adinda memerintah negara; Paduka Adinda sentiasa menjunjung sumpah yang telah dilafazkan iaitu untuk memerintah Malaysia yang kita cintai ini dengan secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan sepenuh ketelusan hati.

“Paduka Adinda juga amat bersyukur dan berterima kasih di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Negara untuk berbincang dan bersama berganding bahu dalam melontar buah pandangan yang bernas demi untuk membantu dalam mencapai jalan penyelesaian buat negara dan kesejahteraan rakyat jelata,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara hari ini. Mesyuarat yang berlangsung sejak semalam dipengerusikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Al-Sultan Abdullah bertitah menerusi sokongan padu Raja-Raja Melayu sepanjang pemerintahan Seri Paduka, ia akhirnya membawa negara dan rakyat jelata dilindungi daripada  terus terjerumus ke kancah yang tidak menentu.

“Hakikatnya, institusi Yang di-Pertuan Agong bukanlah sekadar simbolik semata-mata. Ia adalah pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan negara dan nadi kepada perpaduan negara.

“Ia mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara yang berupaya menggunakan budi bicara untuk menzahirkan kata putus tatkala negara menemui jalan buntu,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah pada hemat Seri Paduka, Raja-Raja Melayu secara kolektif merupakan payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Kekuatan yang mengalir dalam tubuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah cerminan kepada daulat sekalian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menyorot beberapa peristiwa sepanjang tempoh Seri Paduka memerintah,  antaranya apabila negara diselubungi dengan penularan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata sehingga Proklamasi Darurat terpaksa diisytiharkan dan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Terpahat dalam lipatan sejarah negara bahawa Seri Paduka merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri, bersama empat jemaah menteri yang berlainan.

“Begitu juga setelah negara menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung, dalam apa juga situasi Paduka Adinda telah memberi ruang kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mencapai satu kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menjunjung kasih kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah atas kesudian menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan Seri Paduka di tanah air atau tidak dapat menjalankan tugas kerana faktor kesihatan.

“Sayugia Paduka Adinda berasa amat bertuah dan bersyukur kerana setelah 44 tahun selaku Tengku Mahkota Pahang dan 15 hari setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang, Paduka Adinda telah dilimpahi keafiatan serta diangkat kemuliaan oleh Allah SWT untuk bersemayam di atas takhta kerajaan,” titah Seri Paduka.

Esok, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) akan diadakan bagi Raja-Raja Melayu membuat pengundian memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 serta Timbalan Yang di-Pertuan Agong baharu.-BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 meriah

JAKARTA: Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 semalam dimeriahkan dengan kehadiran Delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia. Delegasi ISWAMI Malaysia seramai 33 orang yang

Kanak-kanak empat tahun maut dihempap pokok

JEMPOL: Keseronokan dua beradik mandi di sebuah pusat rekreasi di Batu Kikir bertukar tragedi apabila kanak-kanak lelaki berumur empat tahun maut dihempap sebatang pokok pada

Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). Kementerian

BERITA TERBARU

Johor belajar daripada Sarawak

KUCHING: Lawatan kerja ke Sarawak semalam adalah sebahagian daripada penanda aras projek Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan dilaksanakan di negeri Johor. Menurut kenyataanya, Kerajaan

Premier sokong reka bentuk dalaman terkini ART

KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyokong konsep dan reka bentuk dalaman terkini Transit Aliran Autonomi (ART). Sarawak Metro Sdn. Bhd.

Afieq Shazwan kemalangan di Krabi

PELAKON Afieq Shazwan memaklumkan dirinya terlibat dalam kemalangan sewaktu tiba di Krabi, Thailand baru-baru ini menerusi muat naik status di Instagram story miliknya. Bagaimanapun, Afi