Tempoh kuarantin di hotel mungkin dikurang

KUCHING: Tempoh masa kuarantin di pusat kuarantin menggunakan hotel-hotel dijangka dipendekkan.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, perkara itu telah dibincangkan dan dijangka diputuskan hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, tempoh 14 hari dikuarantin di hotel agak lama menyebabkan bilik hotel tidak cukup untuk menempatkan PUS baharu.

“Sekiranya semua menjalani kuarantin 14 hari di hotel, saya percaya bilik hotel pun tidak cukup.

“Jadi, mereka mungkin perlu dikuarantin di hotel dalam tempoh dua atau tiga hari, selepas dan selepas ujian saringan, mereka boleh menyambung kuarantin di rumah.

“Ini membolehkan bilik hotel dapat menampung mereka yang lain,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 Sarawak di sini, semalam.

Abdul Karim yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang terdapat penambahan seramai 310 orang rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan yang ditempatkan di pusat kuarantin sebagai PUS semalam.

Katanya ia menjadikan jumlah keseluruhan PUS seramai 1,063 orang, yang ditempatkan di 11 buah hotel sebagai pusat kuarantin di seluruh negeri.

“Di Kuching, seramai 116 orang ditempatkan di Hock Lee, Rajah Court Dormani (85), Kuching Park (78), Pullman (98) manakala di Miri ialah Mega (81), Somerset (45), Ostay Inn (15), Cosy Inn (40), Imperial Palace (145), Eastwood Resort (25) dan Imperial (8).

“Selain itu di Limbang iaitu di Purnama (94) dan Bintulu di Park City Everly (233),” katanya. Abdul Karim menambah, seramai 870 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terdiri daripada 316 penguat kuasa, 390 kakitangan Unit Kesihatan Awam dan 164 kakitangan lain sedang melaksanakan tugas sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya terdapat 54,610 premis perniagaan dilesen oleh PBT di seluruh Sarawak.

Manakala, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak bermula 30 Mac yang lalu sehingga tempoh PKP tamat akan melakukan operasi nyahcemar di lokasi yang telah dikenal pasti sebagai zon merah dan zon jingga.

“Sehingga hari ini (semalam) bilangan operasi di Kuching (58), Samarahan (9), Serian (1), Sri Aman (5), Betong (3), Sarikei (13), Sibu (3), Bintulu (7), Miri (38) dan Limbang (10),” katanya. Abdul Karim menambah, secara kumulatif agensi yang terlibat dalam operasi nyahcemar sehingga semalam ialah bomba (1,083), PBT (673), Kementerian Kesihatan Malaysia (306), Angkatan Pertahanan Awam (161), Rela (118), PDRM (100), Pejabat Daerah (35) dan lain-lain (44).

Suara Sarawak