ARTIKEL

Abang Johari berucap ketika merasmikan SAREF 3.0 di BCCK, hari ini

Tenaga hidro beri manfaat lebih daripada sekadar penjanaan elektrik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan kawasan tanah Sarawak yang terjejas oleh pembentukan tasik empangan hidro elektrik, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru, katanya sekiranya Sarawak membangunkan sembilan lagi tapak yang masih tinggal, dijangkakan hanya dua peratus daripada keseluruhan kawasan tanah akan terjejas oleh tasik yang terbentuk.

“Ini kerana Sarawak adalah wilayah yang sangat besar,” katanya berucap bagi merasmikan Forum Kemampanan dan Tenaga Boleh Diperbaharui 3.0 (SAREF 3.0) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Justeru, beliau menekankan bahawa tenaga hidro menawarkan pilihan tenaga boleh diperbaharui yang mampan dan dapat memberi manfaat lebih daripada sekadar penjanaan elektrik.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata melalui tenaga hidro, ia telah membolehkan negeri ini mengurangkan intensiti pelepasan karbon daripada sistem tenaga sebanyak 73 peratus antara tahun 2010 dan 2021, sekali gus menyumbang kepada komitmen sifar karbon dan kelestarian alam sekitar.

Selain itu, beliau berkata ia juga memberi manfaat dari segi kos elektrik kepada pelanggan domestik, industri dan eksport Sarawak dengan menyediakan mereka elektrik yang berpatutan, boleh dipercayai dan mampan.

“Sarawak menawarkan kadar tarif yang paling rendah tanpa subsidi di Asia Tenggara dengan kelebihan tambahan kompetitif iaitu elektrik kami adalah hijau. Ini telah menarik pelanggan dalam jumlah besar,” katanya.

Di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), empangan Murum dan Bakun telah dibangunkan bersama-sama dengan Batang Ai, yang jumlahnya hampir mencapai 3,500 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, projek hidro elektrik keempat dengan kapasiti 1,285MW di Baleh kini dalam pembinaan dan dijadualkan siap menjelang 2028.

Pada masa sama, SEB juga membangunkan projek hidro kecil bagi menyediakan elektrifikasi luar bandar di banyak kampung terpencil Sarawak, dengan kini telah mencapai hampir sepenuhnya elektrifikasi melalui penyelesaian grid dan luar grid.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU