KUCHING: Sarawak mempunyai keistimewaan kerana mampu menyediakan tenaga hijau stabil termasuk tenaga hidro, solar dan hidrogen. Ini sekali gus memenuhi keperluan industri kecerdasan buatan (AI) dan pengeluar cip.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyertaan kita dalam sektor semikonduktor dan elektronik termaju adalah satu langkah strategik.
“Melalui SMD Semiconductor, kita sedang bergerak sebagai pengeluar teknologi, bukan sekadar pengguna.
“Kita telah melancarkan Sarawak Semiconductor Roadmap 2030, yang menggariskan cara Sarawak membangunkan keupayaan dalam reka bentuk cip, penyelidikan dan pembuatan bernilai tinggi,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Mengulas lanjut, dalam Persidangan Mikroelektronik UK pada September lalu, beliau telah melancarkan keteq.GaN, iaitu cip semikonduktor Gallium Nitride generasi baharu.
Jelasnya, ini menandakan langkah berani kita memasuki bidang mikroelektronik berkecekapan tenaga tinggi dan bernilai tambah buatan Sarawak.
“Apabila digabungkan dengan keteq.ai, teknologi GaN ini menetapkan penanda aras baharu dalam penukaran kuasa pintar yang lebih kecil, pantas dan cekap, tepat seperti yang diperlukan oleh pusat data, grid tenaga dan mobiliti elektrik masa hadapan.
“Usaha ini dibina melalui kerjasama strategik dan kita bekerjasama dengan peneraju global seperti XFAB, Cambridge Microelectronics dan CSA Catapult.
“Selain itu, SEB sedang bekerjasama dengan Weeteq, sebuah syarikat inovatif dari Scotland, untuk melaksanakan keteq.ai dalam grid kita, sekali gus memperkukuh kepakaran bertaraf dunia di negeri ini,” katanya lagi.
Ujarnya, Sarawak juga merancang untuk menubuhkan Advanced AI Chip Integration Centre antara Cardiff dan Kuching, yang mana ini akan memperdalam keupayaan kita dalam advanced packaging dan integrasi cip.
Sehubungan itu, Abang Johari turut memberitahu bahawa usaha dalam bidang semikonduktor ini bukan sekadar membangunkan sebuah industri baharu, malah mewujudkan pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi.
Ini tentunya akan memberi peluang kepada anak muda Sarawak supaya menjadi pereka cip, jurutera AI dan pakar pembuatan termaju (advanced manufacturing specialist) tanpa perlu meninggalkan negeri ini.
“Wawasan saya adalah untuk membentuk Sarawak sebagai sebuah ekonomi AI yang mana aktiviti dalam pelbagai sektor dipacu oleh kecerdasan buatan bagi meningkatkan perniagaan, menjana produktiviti, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta membuka ruang pertumbuhan baharu,” tambahnya.

