KUALA LUMPUR: Sarawak kekal komited untuk mencapai sasaran sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di Malaysia selaras dengan komitmen perubahan iklim negara dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, ia terbukti dengan pelaburan strategik Sarawak dalam infrastruktur tenaga boleh diperbaharui termasuk tenaga hidro, sistem hibrid solar untuk elektrifikasi luar bandar dan pengeluaran hidrogen hijau sebagai pelan pembangunan mampan bersepadu.
“Tenaga solar bukan lagi pilihan masa dean, ia keperluan masa kini. Dengan mengadaptasinya, kita bukan sahaja mewujudkan persekitaran lebih bersih, tetapi juga ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian The Solar Week Malaysia 2025 di sini, pada Khamis.
Persidangan tersebut menghimpunkan pembuat dasar, syarikat tenaga boleh diperbaharui, pelabur, penyelidik dan pemimpin komuniti dari seluruh negara serta rantau ini bagi membincangkan inovasi, trend pasaran dan perkembangan dasar yang membentuk masa depan tenaga solar di Malaysia.
Ia turut menampilkan forum peringkat tinggi membincangkan integrasi dan kestabilan grid, strategi pembiayaan projek solar berskala besar, teknologi fotovoltaik generasi baharu serta rangka kerja peraturan bagi mempercepat penerimaan tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, sesi berkumpulan memberi ruang kepada pemain industri bertukar idea, membentuk kerjasama strategik dan meneroka penyelesaian inovatif yang sesuai dengan keperluan pasaran Malaysia.
Persembahan teknikal oleh penyedia teknologi solar terkemuka dan kajian kes pemasangan solar berjaya di kawasan bandar serta luar bandar turut mewarnai persidangan tersebut.-TVS


