ARTIKEL

Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rentas sempadan melibatkan rokok bernilai lebih RM500,000 apabila sebuah lori muatan rokok dipintas di Sektor Serikin pagi semalam. Foto ATM

Tentera Darat Gagalkan Cubaan Seludup Rokok Lebih RM500,000 Rentas Sempadan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rentas sempadan melibatkan rokok bernilai lebih RM500,000 apabila sebuah lori muatan rokok dipintas di Sektor Serikin, pagi semalam.

Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat dalam kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira 11.35 pagi, anggota tentera yang melaksanakan operasi keselamatan mengesan sebuah lori tiga tan bergerak dalam keadaan mencurigakan di satu laluan haram berhampiran Kampung Sebobok, menghala ke sempadan Indonesia.

“Bertindak pantas, pasukan TDM mengepung laluan berkenaan dan berjaya menahan lori tersebut hanya beberapa kilometer sebelum mencecah garis sempadan antarabangsa, sekali gus menggagalkan cubaan sindiket untuk menyeludup keluar barangan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori tersebut menemukan muatan rokok berskala besar yang disembunyikan di bawah kanvas. Hasil rampasan melibatkan 12,180 karton rokok pelbagai jenama termasuk Win Mild dan Era, dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM517,200.

“Sebuah lori tiga tan turut disita dalam operasi tersebut. Pemandu lori, seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun, ditahan di lokasi kejadian. Suspek bersama barang rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” kata kenyataan itu.

Tentera Darat menegaskan keupayaan mereka dalam mengesan dan mematahkan sebarang cubaan penyeludupan sama ada masuk atau keluar negara. Kawalan keselamatan di sektor Serikin dan Bau kini berada pada tahap maksimum bagi mengekang aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.

Orang ramai turut diseru supaya terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan di laluan tidak sah atau lorong tikus sempadan demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Sementara itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil integriti dan kerjasama padu anggota di lapangan.

Beliau menyeru seluruh warga Tentera Darat, khususnya di Sabah dan Sarawak, agar terus mengekalkan kesatuan, disiplin serta amanah dalam melaksanakan tugas demi mempertahankan kedaulatan negara.-TVS

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU