KUALA LUMPUR: Gandingan beregu lelaki nombor satu negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King, untuk menempah tiket ke suku akhir Terbuka India 2025 di New Delhi pada Khamis.
Pasangan beregu pilihan ketiga kejohanan ini bertungkus-lumus sebelum mengetepikan pemain bukan pilihan, Wan Arif dan Roy King, dengan keputusan 25-23, 21-19 dalam masa 44 minit pada kejohanan Super 750 yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi.
Beregu nombor dua dunia ini akan menentukan tempat ke separuh akhir menentang pasangan kembar dari Taiwan, Lee Fang-Chih dan Lee Fang-Jen.
Pasangan kembar itu sebelum ini berjaya melepasi pertarungan sengit tiga set menentang rakan sepasukan, Liu Kuang Heng dan Yang Po Han, dengan keputusan 21-16, 20-22, 21-12.
Dalam pusingan suku akhir hari ini, Sze Fei dan Nur Izzuddin akan beraksi bersama bekas juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, diikuti oleh dua pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, serta Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie, termasuk beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah. — BERNAMA






