ARTIKEL

Para pengamal media yang bertugas membuat liputan sempena persidangan DUN Sarawak ke-19 yang berakhir hari ini menyampaikan ucapan terima kasih di atas insentif sebanyak RM700 yang diberikan kepada pengamal media swasta, selepas pengumuman dibuat oleh Abang Johari dalam ucapan penggulungannya.

‘Terima Kasih Premier’, Ucap Persatuan-Persatuan Media di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Insentif sebanyak RM700 yang diberikan kepada pengamal media swasta mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan media.

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei berkata, bantuan kewangan itu memberikan sokongan yang besar dan bermakna, yang secara langsung membantu ahlinya dalam memenuhi keperluan profesional serta peribadi harian.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memasukkan ahli KDJA dalam pemberian secara ‘one-off’ berjumlah RM700 untuk pengamal media swasta yang berdaftar dengan persatuan kami setakat 1 Disember 2025,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak secara konsisten menunjukkan kefahaman mendalam terhadap peranan penting media, serta mengiktiraf kedudukan mereka sebagai barisan hadapan terutamanya sepanjang tempoh mencabar dan berisiko tinggi semasa pandemik COVID-19.

“Komitmen terhadap komuniti media ini pernah ditunjukkan melalui pakej bantuan kewangan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang disalurkan sepanjang pandemik COVID-19, yang menyediakan bantuan khusus dan bersasar kepada wartawan serta kakitangan media.

“Kami amat menghargai pandangan jauh dan kemurahan hati Premier dalam menjadikan kebajikan petugas media sebagai keutamaan berterusan di Sarawak,” katanya.

Manakala, Pengerusi Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Cawangan Sarawak, Nancy Nais menyifatkan insentif itu mencerminkan pengiktirafan berterusan Kerajaan Sarawak terhadap peranan penting wartawan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan memupuk keharmonian sosial.

“Sokongan yang konsisten ini bukan sahaja mengangkat martabat komuniti media, malah turut menyuntik semangat kepada kami untuk terus menegakkan profesionalisme, integriti dan kecemerlangan dalam pekerjaan kami.

“Kami amat menghargai sumbangan bermakna ini, yang akan meringankan beban ahli kami dan menggalakkan kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sarawak dengan penuh dedikasi. Terima kasih kerana terus memperjuangkan kebajikan komuniti media,” katanya juga menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (Pewarta) Peter Sibon berkata, dasar keterangkuman sosial Abang Johari telah membuktikan bahawa semua lapisan masyarakat di Sarawak mendapat manfaat sejak beliau mengambil alih pentadbiran pada 13 Januari 2017.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Premier atas kemurahan hati beliau dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada ahli Pewarta.

“Malah, ini merupakan kali kedua Kerajaan Sarawak memberikan bantuan kewangan kepada komuniti media di Sarawak. Kami amat berharap agar beliau terus mentadbir Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Abang Johari dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini mengumumkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberi insentif berjumlah RM700 secara sekali sahaja (one-off) kepada pengamal media swasta yang berdaftar setakat 1 Disember 2025 dengan enam persatuan media di Sarawak.

Beliau berkata, ia sebagai tanda penghargaan ke atas sumbangan dan pengorbanan para pengamal media dalam menyampaikan maklumat dan berita secara profesional, yang telah memberi impak besar kepada pembangunan sosio-ekonomi Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU