Teroka hab petrokimia di Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempelawa UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah yang mampan di Malaysia untuk bekerjasama dengan SEDC membangunkan kemudahan tempat tinggal yang baik di Sarawak.

Beliau berkata, terdapat beberapa kawasan di negeri ini memerlukan kemudahan tersebut, antaranya di hab petrokimia Kidurong, Bintulu.

Menurutnya, industri hiliran minyak dan gas itu yang melibatkan pelaburan asing dijangka menempatkan sekitar 74,000 pekerja termasuk ekspatriat dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun akan datang.

“Mereka (pekerja) akan memerlukan tempat tinggal dan di sinilah UDA boleh melihatnya.

Jika berminat boleh beritahu Pengerusi SEDC Tan Sri Aziz Husain,” katanya ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) Usaha Sama Pembangunan Hartanah antara SEDC dengan UDA di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, Aziz Husain dan Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Jalaluddin Alias.

Abang Johari berkata, Sarawak sekarang terlibat aktif dalam industri hiliran minyak dan gas untuk menambah nilai sumber kerana mempunyai rizab yang terbanyak dari sudut gas iaitu sekitar 54 peratus.

Sementara pada sidang media, Jalaluddin memberitahu akan melihat pelawaan Abang Johari itu.

“Yang penting sekarang ialah kami mahu meneroka projek pertama ini bersama-sama SEDC di Kuching, kemudian melihat peluang lain sama ada di Bintulu dan sebagainya,” katanya.

Manakala, Wan Junaidi yakin UDA mempunyai kemampuan untuk membangunkan perumahan untuk ekspatriat di Kidurong.

“UDA merupakan sebuah agensi pemaju hartanah, jadi mungkin mereka mempunyai kemampanan untuk membinanya,” katanya.

Mengenai MoA antara SEDC dengan UDA, Abang Johari berkata, pelan pembangunan yang bakal dilaksanakan itu akan mengubah landskap khususnya di kawasan selatan bandar raya ini.

Pelan pembangunan yang dirangka di atas tanah berkeluasan 12.6 ekar di Lot 9561, Seksyen 64, Kuching Town Land District, Jalan Datuk Merican Salleh itu merangkumi pembinaan dua blok pangsapuri 21 tingkat, kedai pejabat dan hotel 12 tingkat.

Justeru beliau berkata, pembangunan di lokasi strategik itu yang berdekatan Pending serta menghubungkan Petra Jaya akan memberi kemudahan yang baik kepada pelawat di bandar raya ini.

“Mungkin Sarawak boleh menjadi rumah kedua melalui pangsapuri yang dibina kerana orang luar boleh melabur untuk membelinya, sekali gus menyumbang dari sudut pelancongan.

“Sudah tentu saya rasa projek ini akan memberi manfaat kepada rangka pembangunan kita di Kuching supaya ada kemudahan bukan sahaja bagi penduduk tempatan tetapi juga pelawat yang datang melihat keindahan di Bumi Kenyalang ini,” katanya.

Suara Sarawak