ARTIKEL

Datuk Seri John Sikie Tayai | Foto: Ghazali Bujang

Teroka kajian penyelidikan adat guna AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak sedang meneroka kaedah baharu untuk membantu penyelidikan dan penulisan adat, terutama menerusi penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, inisiatif itu bagi mengurangkan beban majlis dalam melaksanakan penyelidikan dan penulisan berikutan pertambahan bilangan kaum asli di Sarawak.

“Pembangunan adat ialah kajian tentang kerelevanan dan kepentingan adat dalam mengatur hubungan serta urusan sosial masyarakat peribumi.

“Sekiranya sesuatu adat semakin berkurangan atau tidak lagi relevan akibat perubahan persekitaran sosioekonomi, adat tersebut akan dimodenkan untuk memberi nafas baharu serta menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

“Oleh itu, Majlis Adat Istiadat Sarawak sedang meneroka kaedah baharu untuk membantu penyelidikan dan penulisan tentang adat, contohnya melalui penggunaan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada ucap penggulungan kementeriannya pada Persidangan Mesyuarat Ketiga bagi penggal keempat Dewan Undangan Negeri Ke-19 di DUN, hari ini.

Jelasnya, Majlis Adat Istiadat Sarawak telah memulakan usaha pemodenan adat sejak akhir tahun 2022.

Ia berikutan banyak adat tidak lagi begitu relevan untuk mengawal hubungan serta urusan sosial masyarakat peribumi masa kini, susulan kebanyakan adat berasal daripada kepercayaan kuno, adat istiadat, amalan, dan bentuk penguatkuasaan bersifat spiritual.

“Ini merupakan satu usaha bersifat akademik yang memberi tumpuan, antara lain, kepada pentafsiran semula, penambahbaikan, dan pewujudan peruntukan baharu dalam adat,” katanya.

Selain itu katanya, cadangan pentafsiran semula adat pula bertujuan meneliti tujuan dan rasional di sebalik suatu adat tradisional daripada sudut pandang yang berbeza.

Beliau berkata, misalnya adat yang berkait rapat dengan unsur spiritual tradisional.

“Tujuan langkah ini ialah untuk meneroka matlamat yang ingin dicapai dalam masyarakat melalui pelaksanaan adat tersebut.

“Setelah rasionalnya difahami, maka satu peruntukan alternatif yang bersifat sekular boleh dicadangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sikie menegaskan pentafsiran semula ini tidak akan memansuhkan adat tradisional, namun berperanan sebagai platform menyediakan peruntukan sekular sebagai alternatif.

“Dengan cara ini, kedua-dua bentuk adat dapat wujud seiring serta memenuhi keperluan masyarakat peribumi dalam pelbagai situasi sosial.

“Penambahbaikan adat pula bertujuan memperbaiki atau mengurangkan ketegasan atau kesan negatif sesuatu adat.

“Sesetengah adat boleh menyebabkan tekanan mental atau psikologi kepada satu atau kedua-dua pihak, atau kepada anak-anak dalam kes tertentu.

Contohnya, adat yang mengawal hak penjagaan anak selepas perceraian,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU