SELANGAU: Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk bekerjasama dengan Syarikat Pelaburan Mubadala di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Syarikat Tenaga Masa Depan Abu Dhabi (MASDAR) untuk meneroka lebih lanjut tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jawatankuasa itu akan melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
“PETROS akan bekerjasama dengan Mubadala manakala SEB akan bekerjasama dengan MASDAR.
Jadi, mereka akan uruskan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Rakyat Tebingan Sungai Selangau dan Bangunan Pejabat Daerah Selangau, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata Sarawak mempunyai semua sumber yang diperlukan untuk kerjasama itu iaitu empangan hidro, tenaga solar dan alga untuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
Katanya, ia sekali gus menjadikan Sarawak diiktiraf sebagai negatif karbon.
“Kita adalah negatif karbon, bermakna kurang karbon, lebih banyak oksigen.
“Kita mempunyai kelebihan itu dalam platform dunia ke arah tenaga hijau,” katanya.
Menurut Abang Johari, semua perkara itu adalah dicapai dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 28) di Dubai, baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau berkata Syarikat British Petroleum (BP) juga berminat untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam pembangunan potensi industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).



