Terpaksa guna laluan alternatif akibat tanah runtuh

BETONG: Sebuah sekolah dan empat rumah panjang terpaksa menggunakan laluan alternatif selepas jalan utama di Bukit Bantas dekat Ulu Paku, semalam dilaporkan runtuh sekaligus tidak boleh dilalui sebarang kenderaan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Mejar (PA) Ismail Mahedin memberitahu, SK Penom dekat Ulu Paku antara yang terjejas.

“Antara lain Rh. Philomenia Methew Lemada Nga Paun, Rh. Jame Unggot Lubuk Klampu, Rh. Francis Nyanggau Penom dan Rh. Henrry Ilon Senunok Ulu.

“Namun, penduduk di empat rumah panjang berkenaan serta sekolah masih mempunyai jalan alternatif untuk keluar ke Betong melalui jalan Sungai Langit (yang menghubungkan Ulu Paku dan Ulu Layar),” katanya.

Jelasnya, punca tanah runtuh disyaki disebabkan oleh hujan lebat dua ke tiga hari lalu dan pihaknya di peringkat daerah sentiasa memantau keadaan dari masa ke masa.

Sementara itu Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong Chiresly Francis Kureng ketika dihubungi memaklumkan, tindakan segera sudah diambil dan pihaknya berusaha membina pembentung sementara bermula hari ini yang dijangka siap dalam tempoh dua hari bergantung kepada cuaca.

Untuk jangka masa panjang tambahnya, JKR akan membina pembentung RC yang kekal.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Adun Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Negeri Bil.1/2020 di Simanggang pagi tadi terus meninjau lokasi kejadian.

Turut serta Residen Bahagian Betong Friday Belik.

TINJAU… Uggah meninjau lokasi kejadian, petang tadi.

Suara Sarawak