KUCHING: Sekolah yang tidak dapat beroperasi akibat banjir ketika ini disaran melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam sesi persekolahan.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, setakat ini kaedah tersebut merupakan pilihan terbaik yang dikenal pasti bagi setiap sekolah terbabit.
“Itulah pilihan terbaik yang kita cadangkan buat masa ini. Tambahan pula, sekolah hanya menjalankan sesi orientasi dan aktiviti pembelajaran santai pada minggu pertama persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 di SMK Petra Jaya di sini, hari ini.
Sementara itu, Omar menjelaskan sebanyak 28 sekolah tidak dapat beroperasi susulan kawasan premis dinaiki air selain dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Pada awalnya, sebanyak 42 sekolah dilaporkan tidak dapat beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan namun hasil perbincangan bersama pihak sekolah berkaitan, jumlah itu berjaya dikurangkan kepada 26 buah.
“Bagaimanapun pada malam yang sama, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat melaporkan dua lagi sekolah terjejas akibat banjir menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 28 sekolah yang tidak dapat beroperasi,” katanya.
Sehubungan itu, Omar memaklumkan tiada laporan kerosakan harta benda sekolah diterima setakat ini.
“Walaupun paras air meningkat, persediaan awal telah dibuat. Pihak sekolah diingatkan agar meletakkan aset di tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.
“Kecuali dalam kes banjir kilat secara tiba-tiba yang sukar dijangka, setakat ini tiada laporan kerosakan serius diterima daripada pejabat pendidikan daerah,” katanya.



